editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Huawei Malaysia dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi fon telinga terbaharu, HUAWEI FreeBuds 6, yang kini boleh didapati di seluruh negara pada harga hanya RM699.
Hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi reka bentuk, kualiti audio dan prestasi bateri, FreeBuds 6 tampil sebagai pilihan premium untuk pengguna yang mengutamakan gaya hidup digital yang serba pantas dan dinamik.
Pembelian HUAWEI FreeBuds 6 menerusi laman rasmi Huawei, Kedai Rasmi Huawei di Shopee, Kedai Rasmi Huawei di Lazada serta saluran rasmi di TikTok turut disertakan dengan hadiah percuma bernilai RM327, termasuk HUAWEI Band 8, jaminan 1+1 tahun, serta perlindungan kehilangan selama 2 tahun.
Menampilkan reka bentuk baharu yang diinspirasikan daripada bentuk titisan air, FreeBuds 6 direka agar lebih selesa dipakai sepanjang hari serta sesuai dengan pelbagai bentuk telinga.
Dari segi audio, fon telinga ini diperkasakan oleh sistem pemacu dwi yang canggih, menghasilkan bunyi tinggi yang jelas dan bass yang lebih mendalam satu pencapaian mengagumkan bagi fon telinga jenis open-fit yang tidak menutup telinga secara keseluruhan.
Rahsia kepada kualiti bass yang tebal dan menggegarkan ini terletak pada pemacu bermagnet dwi 11mm berkepekaan tinggi, yang dibina menggunakan unit dinamik serta sistem pemacu magnet cincin berganda.
Gabungan ini membolehkan diafragma menghasilkan daya getaran yang kuat, menjadikan pengalaman audio lebih mengasyikkan dan mendalam.
Bagi pengguna yang memiliki peranti Huawei yang menyokong sistem ini, FreeBuds 6 mampu menyampaikan audio lossless sehingga 48 kHz/24-bit, sekaligus menawarkan pengalaman pendengaran beresolusi tinggi yang menonjolkan setiap nada dan perincian.
Sokongan kepada penstriman lossless 2.3 Mbps melalui codec L2HC 4.0 turut tersedia apabila dipadankan dengan HUAWEI Mate X6.
Fon telinga ini juga direka untuk menyokong komunikasi harian secara optimum.
Ia dilengkapi dengan mikrofon konduksi tulang (VPU) dan reka bentuk ruang dalaman tersendiri yang membolehkan pengecaman suara berlaku dengan lebih tepat, walaupun dalam persekitaran yang mencabar.
Tambahan pula, FreeBuds 6 menyokong pembatalan hingar dua hala ketika panggilan, menghapuskan bunyi latar belakang sehingga 95dB, menjadikan panggilan lebih jelas dan bebas gangguan walau berada di tempat bising seperti kafe atau ketika dalam perjalanan.
Fungsi kawalan bebas tangan turut menambah nilai kepada fon telinga ini, di mana pengguna boleh mengawal panggilan atau main balik audio hanya dengan mengangguk untuk menjawab atau menggeleng untuk menolak, tanpa perlu menyentuh fon telinga atau peranti.
Dari segi ketahanan bateri, FreeBuds 6 menawarkan sehingga 36 jam penggunaan bersama bekas pengecas, dan menyokong main balik selama 2.5 jam hanya dengan lima minit pengecasan.
Ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Ungu, Putih dan Hitam reka bentuk yang anggun menjadikannya pilihan bergaya dan praktikal untuk kegunaan harian.
Lebih menarik, HUAWEI FreeBuds 6 menyokong keserasian penuh dengan peranti iOS dan Android, menjanjikan pengalaman mendengar yang lancar tanpa mengira ekosistem peranti pengguna.
Pelancaran ini sekali lagi menegaskan komitmen Huawei dalam menerajui inovasi teknologi audio yang memenuhi keperluan gaya hidup moden.
Dengan gabungan rekaan pintar, prestasi hebat dan fungsi pintar yang canggih, FreeBuds 6 sedia menjadi pilihan utama bagi pengguna yang inginkan fon telinga serba lengkap dan bergaya.

