editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan dua tokoh utama bagi menerajui pucuk pimpinan syarikat terbabit, menandakan satu era baharu dalam usaha memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam negara.
Tan Sri Mohd Nasir Ahmad telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana yang baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025, manakala Amir Hamdan akan mengambil alih jawatan sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) bermula 15 Julai 2025.
Pelantikan Tan Sri Mohd Nasir menggantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi pada 30 April 2025.
Beliau bukanlah nama asing dalam dunia korporat negara, setelah pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga persaraannya pada 1 Jun 2011.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Berhad sejak tahun 2018.
Sementara itu, pelantikan Amir Hamdan sebagai Pemangku PGCEO dibuat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan operasi Prasarana dalam menyampaikan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing.

Beliau menggantikan Mohd Azharuddin Mat Sah yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bersama Prasarana pada 14 Julai 2025.
Amir, yang sebelum ini adalah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi dan meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat.
Sejak menyertai Prasarana pada tahun 2019 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan, beliau terus mengorak langkah cemerlang apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd pada tahun 2022.
Di bawah kepimpinannya, pelbagai inisiatif penambahbaikan telah dilaksanakan, membawa kepada peningkatan signifikan dalam kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan rel.
Beliau adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Lincoln University, New Zealand, dan memiliki Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam daripada INCEIF University.
Amir juga adalah ahli bertauliah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Lembaga Pengarah serta barisan kepimpinan kanan Prasarana mengalu-alukan pelantikan kedua-dua pemimpin ini.
Dengan pengalaman luas dan kepakaran masing-masing, mereka diyakini mampu memacu hala tuju syarikat ke tahap lebih tinggi dalam usaha merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.
Pada masa yang sama, Prasarana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Mohd Azharuddin Mat Sah atas jasa bakti dan kepimpinan cemerlang mereka sepanjang empat tahun menerajui syarikat.
Di bawah kepimpinan mereka, Prasarana telah melalui fasa transformasi yang signifikan, memperkukuh tadbir urus korporat serta mempertingkat mutu perkhidmatan pengangkutan awam demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Antara pencapaian utama yang dibanggakan sepanjang tempoh itu termasuk kejayaan mencatatkan jumlah penumpang harian tertinggi bagi perkhidmatan rel dan bas iaitu seramai 1.5 juta pada 31 Disember 2024.
Selain itu, jumlah gangguan perkhidmatan rel berjaya dikurangkan dengan ketara, daripada 255 gangguan pada tahun 2022 kepada hanya 71 gangguan pada tahun 2024.
Prasarana turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti perkhidmatan van Rapid On-Demand (ROD) bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat secara lebih fleksibel dan efisien.
Dengan pelantikan kepimpinan baharu ini, Prasarana komited untuk terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju dalam sektor pengangkutan awam negara, sejajar dengan matlamat membina masa depan mobiliti yang lestari dan inklusif untuk semua.

