editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi yang sinonim dengan genre jazz dan R&B di Malaysia, Noryn Aziz, bakal menghidupkan pentas Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu persembahan istimewa bertajuk “This Is Noryn Aziz”.
Dijadual berlangsung pada malam Jumaat, acara eksklusif ini menjanjikan satu pengalaman muzik yang bukan sahaja merdu di telinga, malah menyentuh jiwa membawa penonton menyelami sisi peribadi dan perjalanan seni seorang artis yang telah menempuh pelbagai fasa kehidupan serta evolusi muzik sepanjang kerjayanya.
Tidak hanya sekadar sebuah konsert, persembahan ini dilihat sebagai satu bentuk penghormatan terhadap kesenian dan identiti Noryn Aziz sebagai seorang penyanyi, wanita dan anak seni tanah air.
Hanya 500 penonton bertuah akan dapat menyaksikan persembahan eksklusif ini secara langsung menjadikan acara ini sebagai satu peristiwa istimewa buat peminat tegar muzik tanah air.
Noryn sendiri menyifatkan konsert ini sebagai cerminan dirinya.

“‘This Is Noryn Aziz’ bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah kisah perjalanan hidup saya yang diterjemahkan melalui muzik, satu kisah yang merangkumi emosi, budaya dan cinta mendalam terhadap seni,” katanya.
Persembahan ini bakal dibawakan dalam dua babak utama, dengan pendekatan sinematik yang memikat.
Babak pertama menyorot sisi jazz dan soul genre yang membentuk asas muzik Noryn sejak awal kerjayanya.
Penonton bakal dihidangkan dengan karya-karya terbaharu seperti “Kaki Kiriku”, sebuah lagu yang menggabungkan nuansa Parisian dan Melayu secara kreatif, serta “Syurga Sempurna” dan “Hoore Hoore”, yang diberi nafas baharu menerusi sentuhan jazz moden.
Babak kedua pula menyajikan suasana perayaan yang lebih kontemporari dengan elemen R&B yang lebih bertenaga dan emosional.
Di sinilah penonton akan dibawa merentasi zaman menerusi lagu-lagu nostalgia seperti “Fantasi O Realiti” dan “Alam Maya”, dalam sebuah persembahan penuh ekspresi dan penghargaan terhadap seni yang membentuk identiti Noryn Aziz.

Bagi penyanyi ini, This Is Noryn Aziz juga adalah sebuah manifestasi terhadap hasratnya untuk membawa genre jazz lebih dekat dengan masyarakat dan tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang asing atau eksklusif.
“Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita: dengan bahasa kita, ritma kita, dan jiwa kita,” katanya.
Noryn turut menzahirkan komitmennya terhadap pembinaan landskap muzik Malaysia yang lebih inklusif dan berakar kepada budaya tempatan.
Selain menonjolkan kepelbagaian vokalnya, Noryn turut melihat persembahan ini sebagai ruang untuk membuka laluan kepada bakat baharu khususnya pemuzik jazz dan artis wanita tempatan agar terus berani mengekspresikan diri dalam genre yang dianggap “niche”.

“Malaysia mempunyai suara jazz yang sophisticated tapi bersahaja, antarabangsa tapi tetap berakar budaya. Elegan, moden dan tetap Malaysia,” katanya lagi.
Persembahan yang bakal berlangsung pada 19 September 2025, jam 8 malam ini hanya menawarkan 500 tempat duduk, menjadikannya sebuah malam yang eksklusif dan intim.
Tiket boleh didapati melalui platform rasmi TicketHotline dan peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

