27.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026

Fazura, Ade Govinda bersatu dalam lagu motivasi ‘Luar Biasa’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dua figura seni dari Malaysia dan Indonesia berganding bahu dalam satu karya muzik yang menyentuh emosi dan menyemarakkan semangat.

Fazura, selebriti dan usahawan terkenal Malaysia, bersama pemuzik dan komposer prolifik dari Indonesia, Ade Govinda, mempersembahkan single terbaharu berjudul Luar Biasa sebuah lagu yang membawa mesej ketabahan, harapan dan kebangkitan.

Single ini sudahpun dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital dan disertai dengan tayangan video muzik eksklusif di saluran YouTube Fazura.

Luar Biasa dicipta sepenuhnya oleh Ade Govinda dan ditulis bersama oleh Fazura serta Veron Savanoah.

Lagu ini menyampaikan naratif perjuangan hidup bagaimana kejatuhan adalah lumrah, tetapi keberanian untuk bangkit menjadikan seseorang itu benar-benar luar biasa.

Melodi yang segar dan susunan muzik yang menyentuh jiwa menjadikan karya ini bukan sahaja mudah dihayati, malah berpotensi menjadi lagu motivasi harian bagi pendengar dari pelbagai latar belakang.

Fazura meluahkan rasa syukur kerana dapat terbabit dalam projek bermakna ini.

“Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia menggambarkan realiti kehidupan kita semua melalui detik sukar, tetapi yang paling penting ialah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang.

“Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu hadapi segalanya dengan tenang,” katanya.

Bagi Ade Govinda pula, kolaborasi ini adalah hasil karya yang lahir dari hati.

“Saya cipta lagu ini untuk semua insan yang pernah jatuh, agar mereka tahu bahawa bangkit itu lebih luar biasa daripada jatuh.

“Proses kreatifnya begitu lancar seolah-olah lagu ini ingin lahir sendiri. Dari susunan muzik hingga kepada lirik, semuanya mengalir begitu mudah kerana mesej yang ingin disampaikan sangat jelas,” katanya.

Pengalaman merakam lagu dan video muzik turut digambarkan sebagai sangat positif oleh kedua-dua artis.

Fazura memuji semangat kerjasama dan dedikasi pasukan produksi dari Indonesia, manakala Ade pula menyifatkan Fazura sebagai seorang artis profesional yang memberi komitmen tinggi sepanjang proses rakaman.

“Rakaman vokal dan penggambaran video muzik berjalan lancar dalam masa yang singkat kerana Faz sangat fokus dan bersemangat,” katanya.

Karya ini turut diperkukuh dengan sentuhan teknikal daripada dua nama besar dalam industri muzik serantau dan proses adunan dilakukan oleh Jones Roma manakala proses mastering diuruskan oleh Stephan Santoso.

Hasil akhirnya menghasilkan bunyi moden yang kaya dengan emosi, sesuai untuk semua peringkat umur.

Dengan pelancaran serentak lagu dan muzik video Luar Biasa, Fazura dan Ade Govinda bukan sahaja menyatukan dua dunia muzik, tetapi juga dua semangat besar yang ingin menyampaikan harapan kepada mereka yang sedang melalui cabaran dalam hidup.

Lagu ini diharapkan mampu menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat sesiapa sahaja yang mendengarnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular