editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, Tealive hari ini melakar sejarah baharu apabila secara rasmi melancarkan rangkaian minuman dalam bentuk sachet 3 dalam 1 pertama mereka.
Ia sekali gus menandakan kemasukan rasminya ke dalam pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).
Menerusi pelancaran yang berlangsung di IOI City Mall, Tealive memperkenalkan varian teh susu, kopi dan coklat yang bukan sahaja mudah disediakan, tetapi juga mengekalkan rasa lazat setaraf kafe sesuai untuk dinikmati di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Majlis pelancaran ini turut mendapat suntikan istimewa apabila dirasmikan oleh bekas Menteri dan tokoh media, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan langkah ini sebagai satu perubahan budaya dalam landskap keusahawanan tempatan.
“Perjalanan Tealive daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi mencerminkan bagaimana produk tempatan mampu berkembang menjadi gaya hidup.
“Ini adalah detik kebanggaan bagi inovasi Malaysia,” kata Khairy.

Khairy turut menyuarakan sokongan terhadap usaha Tealive dan menyeru masyarakat agar memberi kepercayaan kepada inovasi tempatan.
“Jenama seperti Tealive membuktikan kita ada bakat dan kemampuan.
“Kita hanya perlu kepercayaan kolektif untuk membawa produk kita ke peringkat global,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo berkata, pelancaran ini adalah satu langkah strategik yang berani, bertujuan memastikan jenama Tealive terus relevan dengan gaya hidup masa kini yang menuntut kemudahan dan akses segera.
“Kami mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah dinikmati oleh semua.
“Rangkaian 3 dalam 1 ini membawa pengalaman Tealive terus ke rumah, tempat kerja atau semasa dalam perjalanan,” katanya.

Rangkaian sachet ini akan mula dijual secara eksklusif di semua cawangan AEON dan Tealive di seluruh negara serta menerusi platform e-dagang mulai 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit pada bulan Julai.
Setiap kotak dijual pada harga RM12.90 dan mengandungi lima hingga enam sachet, dihasilkan daripada bahan premium bagi memastikan rasa yang kaya, berkrim dan autentik.
Antara pilihan yang ditawarkan termasuk:
-Teh Susu: Teh Susu Signature, Teh Matcha dan Teh Tarik
-Kopi: Kopi Signature, Caramel Macchiato dan Kopi Hazelnut
-Coklat: Coklat Signature, Coklat Gelap dan Coklat Hazelnut
Loo berkata, pemilihan bahan berkualiti tinggi serta pembangunan profil rasa yang menyerupai pengalaman di cawangan Tealive menjadi kunci kepada produk ini.
“Sachet ini bukan sekadar sedap, tetapi perlu menghadirkan emosi dan kenikmatan yang sama seperti menikmati minuman di kedai kami,” katanya.

Dalam pasaran FMCG yang kian kompetitif, Tealive yakin kepercayaan pengguna terhadap jenama mereka, inovasi dalam cita rasa, integriti bahan dan hubungan emosi yang kukuh dengan pelanggan akan menjadi faktor pembeza utama.
“Kami membina Tealive sebagai jenama gaya hidup bukan sekadar satu produk.
“Sokongan terhadap jenama tempatan yang berkualiti tinggi seperti ini adalah pilihan bijak, bukan semata-mata semangat patriotik,” katanya.
Menurut laporan Frost & Sullivan, segmen kedai teh di Malaysia dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.6 peratus dari 2024 hingga 2029 melepasi pertumbuhan industri minuman secara keseluruhan.
Tealive berada dalam kedudukan yang strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini, khususnya menerusi saluran runcit dan FMCG.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pengenalan menu baharu yang lebih segar dan pelbagai.
Bagi memenuhi kehendak pengguna yang lebih mementingkan kesihatan, Tealive memperkenalkan kategori teh susu ringan.
Minuman popular seperti Bang Bang juga kembali dengan formulasi baharu yang lebih berkrim, manakala siri premium seperti teh Da Hong Pao dan Snowy menambah pilihan yang lebih eksklusif kepada pelanggan.
“Pembaharuan menu ini selari dengan perubahan gaya hidup dan cita rasa pengguna. Kami ingin memastikan setiap pelanggan sama ada yang mencari indulgence atau keseimbangan dapat menemukan sesuatu yang mereka suka,” katanya.
Sebagai simbol penghargaan terhadap kreativiti tempatan, Tealive turut mengumumkan kerjasama eksklusif bersama jenama tempatan bagi menghasilkan barangan edisi terhad.
Usaha ini diraikan sebagai sebahagian daripada penghormatan terhadap warisan dan kebanggaan Malaysia.
Dengan pelancaran inovatif ini, Tealive terus mengukuhkan kedudukannya bukan hanya sebagai peneraju dalam industri minuman gaya hidup, tetapi juga sebagai pencetus transformasi dalam cara rakyat Malaysia menikmati minuman kegemaran mereka.

