editormaxinfo@gmail.com
MADINAH – Dua anak Malaysia, pelakon Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Datuk Qobin, kini menghampiri garisan penamat dalam misi penuh inspirasi mereka yang dinamakan Journey to Tanah Haram.
Setelah merentasi benua dan merempuh pelbagai cabaran menggunakan kayuhan basikal serta pengangkutan darat dan udara, mereka kini berada di wilayah Qassim, Arab Saudi dan dijangka tiba di kota suci Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.
Misi ini bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal, tetapi satu kembara rohani yang sarat dengan keinsafan dan keajaiban yang tidak diduga.
Berkongsi pengalaman Amar mengakui betapa getirnya perjalanan mereka, terutamanya ketika menempuh cuaca ekstrem yang mencecah sehingga 51 darjah Celsius, selain terpaksa berdepan dengan tiupan angin kuat yang melambatkan kayuhan.
“Kadang-kadang kami terlalu letih untuk meneruskan kayuhan, tetapi setiap kali itu juga pasti ada pertolongan daripada insan yang kami sendiri tidak kenali.
“Allah hadirkan bantuan tepat pada waktunya,” katanya.
Antara pengalaman yang dianggap luar biasa termasuk kejadian tayar basikal pancit namun apa yang mengagumkan, tayar itu sentiasa pancit di lokasi yang cukup strategik, sama ada berhadapan bengkel atau kawasan teduh untuk berehat.
“Seolah-olah sudah diatur Tuhan. Kami juga diberikan makanan, minuman dan malah ada yang memberi wang saku tanpa kami minta,” katanya lagi.
Perjalanan mereka turut dipermudahkan dengan bantuan komuniti rakyat Malaysia yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Tanpa diminta, mereka ditawarkan penginapan percuma dan dilayan seperti tetamu kehormat.
“Kami tak sangka layanan sebegitu, malah perbelanjaan sepanjang perjalanan ini pun belum mencecah RM12,000 kerana terlalu ramai yang tampil menghulur bantuan,” kongsi Amar lagi.
Pada asalnya, misi ini dirancang untuk merentasi India, Pakistan dan Iran.
Namun, atas nasihat keselamatan dari Kedutaan Malaysia di negara-negara terbabit memaksa mereka mengubah laluan hanya seminggu sebelum bertolak dari Bangkok, susulan ketegangan konflik bersenjata di rantau berkenaan.

“Ia menjadi pengajaran penting buat kami. Kita merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya,” kata Qobin.
Perjalanan epik ini bermula di Padang Besar dan dilepaskan secara rasmi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Mereka kemudiannya melalui Bangkok, Iran, UAE dan kini hampir tiba ke destinasi impian iaitu Madinah al-Munawwarah.
Walaupun misi ini tidak didaftarkan sebagai ekspedisi rasmi atau bertujuan memecah sebarang rekod, ia adalah sebuah ikhtiar ikhlas dua sahabat yang berazam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dengan jalan darat dan menggunakan dana sendiri.
“Apa yang kami lakukan ini datang dari hati. Kami hanya ingin rasai sendiri perjalanan musafir ke Tanah Haram dalam bentuk yang paling sederhana,” kata Amar.
Meskipun hampir sampai ke garisan penamat, cabaran tetap menguji ketahanan fizikal dan mental mereka.

Menurut Qobin, beliau mengalami kekejangan otot seluruh badan akibat suhu panas melampau, meskipun telah mengambil air secukupnya.
Keadaan itu memaksa mereka berehat selama dua malam di Qassim sebelum menyambung perjalanan terakhir ke Madinah sejauh kira-kira 150 kilometer dari kawasan Hanakeyah.
“Kami mohon doa daripada semua rakyat Malaysia. Sokongan anda di media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook menjadi sumber kekuatan buat kami sepanjang musafir ini,” katanya.
Jika tiada aral melintang, Journey to Tanah Haram dijangka melabuhkan tirainya di Madinah sekitar 31 Mei atau 1 Jun ini.
Sepulangnya ke tanah air nanti, pasangan sahabat ini merancang untuk berkongsi kisah pengembaraan mereka dalam bentuk dokumentari sebuah kisah benar yang sarat dengan nilai iman, ketabahan dan sifat ihsan sesama manusia.
Untuk perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman sosial Instagram Amar Baharin dan Datuk Qobin (@dqobin).

