editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Anugerah tertinggi yang mengiktiraf kecemerlangan usahawan Islam di persada antarabangsa kembali untuk edisi keduanya, menerusi penganjuran Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025 yang berlangsung di Le Meridien Hotel, Putrajaya.
Dianjurkan oleh KNKV Group dengan pengiktirafan rasmi daripada Dewan Perniagaan Muslim Insiders, acara berprestij ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak strategik termasuk CTOS Data Systems sebagai rakan semakan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selaku rakan akademik, firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai rakan guaman rasmi, serta Yayasan Mihrab sebagai rakan kebajikan.
IDEA Award 2025 berjaya menghimpunkan tokoh industri serta syarikat berprofil tinggi dari dalam dan luar negara.
Antara penerima anugerah antarabangsa yang hadir termasuk jenama terkemuka seperti Muslim Pro dari Singapura, Human Appeal dari Australia dan ZTE dari China.
Kehadiran mereka menyerlahkan anugerah ini sebagai sebuah platform pengiktirafan global terhadap syarikat yang berjaya mengintegrasikan prinsip perniagaan moden berlandaskan nilai dan etika Islam.

Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Profesor (Adjung) Adam Richman berkata, penganjuran ini tidak hanya bertujuan meraikan kejayaan semata-mata, malah untuk menginspirasi lebih banyak perniagaan agar berani mengamalkan prinsip Syariah dalam operasi harian mereka.
Beliau turut memuji penggunaan sistem semakan CTOS dalam proses penjurian sebagai satu langkah telus yang selari dengan konsep tabayyun seperti yang disebut dalam Surah Al-Hujurat ayat 6, sekali gus memperkukuh asas ekonomi ummah yang berintegriti.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar yang berkenan menyampaikan anugerah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menyampaikan ucaptama pada majlis terbabit.
Dalam ucapannya, Senator Dr. Zulkifli menyifatkan IDEA Award 2025 sebagai platform penting yang membuktikan bahawa kecemerlangan dalam dunia Islam boleh bersifat global, profesional dan memberi inspirasi.
Beliau turut mengaitkan kerangka kerja Malaysia MADANI yang menekankan prinsip ihsan, sebagai kunci kemampanan dan pembangunan masyarakat yang bertanggungjawab serta berintegriti.

Beliau memuji penggunaan CTOS sebagai satu pendekatan penjurian berteraskan ketelusan dan nilai Islam, menyifatkannya bukan sekadar pembekal data, tetapi penjaga amanah yang membantu memastikan setiap keputusan dibuat secara adil dan berwibawa.
“Itulah sebabnya saya ingin menekankan kepentingan ketelusan, integriti dan pengesahan dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.
IDEA Award 2025 bukan sekadar sebuah malam anugerah, sebaliknya menjadi simbol kepada gerakan kebangkitan ekonomi ummah, yang semakin mendapat tempat dalam arus ekonomi global.

Antara syarikat tempatan yang menerima pengiktirafan pada malam anugerah itu termasuk LBS Bina Group Sdn Bhd, AEON Bank Berhad, Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Ajinomoto (M) Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Delima Oil Products Sdn Bhd, Sugarbomb Worldwide Sdn Bhd dan MBG Fruits Sdn Bhd.
Turut tersenarai sebagai penerima anugerah ialah syarikat Perry Smith, Astro, Ikhlas.com dan beberapa lagi entiti perniagaan yang telah menunjukkan kecemerlangan berteraskan nilai Islam.
Dengan pendekatan menyeluruh yang memberi penekanan kepada nilai integriti, tanggungjawab sosial dan prinsip Islam sebagai asas utama, IDEA Award 2025 terus meletakkan standard baharu dalam dunia keusahawanan Islamik, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.


https://shorturl.fm/XIZGD