34 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Program ganjaran dan aplikasi mudah alih SSM e-Info versi 3.0, perkukuh transformasi digital perkhidmatan korporat negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha berterusan memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital negara, Raffcomm Technologies Sdn. Bhd. (RAFFTECH), selaku penyedia perkhidmatan utama bagi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hari ini melancarkan secara rasmi Program Ganjaran SSM e-Info dan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0.

Pengerusi Eksekutif RAFFTECH, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, pelancaran ini mencerminkan satu lagi langkah strategik dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan bernilai tambah kepada rakyat serta komuniti perniagaan di Malaysia.

“Selama lebih 19 tahun, SSM e-Info menjadi pintu utama yang dipercayai dalam mengakses maklumat korporat di negara ini.

“Inisiatif baharu ini mengangkat perkhidmatan ini ke tahap lebih tinggi dengan memperkenalkan sistem ganjaran digital yang memanfaatkan pengguna melalui setiap transaksi mereka,” katanya.

Bertemakan “Beli, Kumpul, Tebus”, Program Ganjaran SSM e-Info membolehkan pengguna memperoleh mata ganjaran setiap kali membuat pembelian melalui platform berkenaan.

Mata terkumpul boleh ditebus dalam tempoh enam bulan menerusi aplikasi mudah alih.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada pengguna setia, malah turut mendorong interaksi yang lebih aktif serta berterusan.

Pelancaran serentak Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info Versi 3.0 turut menarik perhatian. Aplikasi yang direka semula ini hadir dengan antaramuka yang lebih mesra pengguna, navigasi interaktif serta ciri carian pintar yang membolehkan maklumat diperoleh dengan pantas dan tepat.

Dengan hanya beberapa klik, pengguna kini boleh mengakses pelbagai dokumen korporat penting seperti sijil penubuhan dan pemfailan berkanun secara masa nyata.

Lebih membanggakan, aplikasi ini turut memperkenalkan integrasi e-dompet yang dibangunkan sepenuhnya oleh RAFFTECH menjadikan SSM e-Info sebagai satu-satunya portal rasmi kerajaan yang menyokong fungsi ini, dengan kelulusan Bank Negara Malaysia sejak tahun 2013.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Ahmad Shahril Ibrahim, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan transformasi digital SSM sejak penubuhan platform ini pada tahun 2006.

“Kami bermula dalam suasana yang mencabar, dengan teknologi terhad dan penerimaan pengguna yang masih rendah.

“Namun kami percaya bahawa pendigitalan akses maklumat korporat bukan sekadar penambahbaikan teknikal, tetapi satu keperluan nasional,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan dalam mempertingkatkan platform melalui maklum balas pengguna dan kerjasama strategik telah membolehkan SSM e-Info menjadi alat penting yang dipercayai oleh pelbagai sektor termasuk institusi kewangan, badan penguatkuasa, pelabur dan usahawan di dalam dan luar negara.

“Hari ini, kami melangkah setapak lagi ke hadapan dengan aplikasi mudah alih versi terbaharu yang lebih pantas, mesra pengguna, serta menawarkan ganjaran kesetiaan kepada para pengguna tetap.

“Ia bukan sekadar pelancaran produk, tetapi cerminan komitmen SSM terhadap ketelusan, kecekapan dan inovasi,” katanya.

Pelancaran ini juga menampilkan integrasi penuh e-dompet yang membolehkan pengguna menambah nilai, membuat pembelian secara langsung dan menjejaki transaksi mereka dalam satu platform yang selamat.

Fungsi ini sekali gus menghapuskan keperluan untuk pembayaran pihak ketiga dan menyokong pengalaman pengguna yang lebih lancar.

Sebagai satu-satunya portal perkhidmatan rasmi SSM yang menawarkan dokumen Digitally Certified True Copy (DCTC) melalui Certification Authority (CA) dalaman yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), aplikasi ini turut memperkukuh ketulenan dan kebolehpercayaan dokumen korporat yang diperoleh.

Melangkah ke hadapan, SSM menyasarkan untuk memperluas ciri-ciri digital melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), memperkukuh keselamatan maklumat serta memperluas akses menerusi integrasi API untuk menyokong sektor fintech dan regtech.

Majlis ini menjadi simbol kepada dedikasi SSM dan RAFFTECH dalam mendukung aspirasi Malaysia sebagai negara digital progresif.

Orang ramai disarankan untuk memuat turun aplikasi mudah alih ini yang kini tersedia di Apple App Store dan Google Play Store, serta meneroka manfaat program ganjaran dan kemudahan baharu yang ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut layari https://www.ssm-einfo.my.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular