editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan pelantikan semula beliau untuk tempoh satu tahun sebagai suatu penghormatan besar yang mencerminkan kepercayaan tinggi pihak kepimpinan negara terhadap usaha berterusan memerangi rasuah.
Pelantikan semula itu berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026, selepas mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Azam berkata, perkenan itu bukan sahaja memberi makna besar kepada dirinya secara peribadi, malah turut menjadi pengiktirafan kepada seluruh warga SPRM yang terus komited dalam perjuangan menegakkan integriti dan tadbir urus yang bersih.
“Saya menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan serta dukungan berterusan dalam meneruskan amanah yang amat besar ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Azam berkata, beliau akan terus memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kesedaran dan komitmen, khususnya dalam menerajui misi SPRM membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Jelasnya, usaha ini adalah penting dalam memastikan Malaysia terus menuju ke arah sebuah negara yang makmur, adil dan berdaya saing.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan iltizam SPRM untuk terus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) agar negara terus dihormati serta diyakini oleh masyarakat antarabangsa.
Tambahnya, pencapaian itu akan menjadi satu penanda aras penting kepada keberkesanan langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang gemilang,” katanya.
Tan Sri Azam Baki, 62, sebelum ini telah dua kali dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, masing-masing bagi tempoh setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan seterusnya dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Beliau mula memegang jawatan tertinggi dalam suruhanjaya itu pada 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya yang telah memendekkan tempoh perkhidmatannya.
Sepanjang lebih empat dekad berkhidmat dalam agensi pencegahan rasuah, Azam telah menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).
Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang penguatkuasaan pada tahun 1984 ketika agensi itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Pengalaman luas dan kepimpinan beliau dijangka terus memperkukuh peranan SPRM sebagai badan penguatkuasaan utama negara dalam memastikan budaya integriti terus menjadi asas dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat Malaysia.

