editormaxinfo@gmail.com
PORT DICKSON – Usaha memperkukuh kawalan sempadan maritim negara terus digiatkan menerusi pelaksanaan Operasi Redback 20 (OP REDBACK 20), hasil kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Australian Border Force (ABF).
Operasi ini berlangsung dari 5 hingga 9 Mei 2025, merangkumi perairan negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi dua hala yang memasuki edisi ke-20 itu adalah kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia yang telah dimeterai sejak tahun 2012.
Katanya, pelaksanaan OP REDBACK bukan sahaja mencerminkan komitmen bersama dalam membanteras jenayah rentas sempadan, malah menjadi platform penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang maritim di antara kedua-dua negara.
“Operasi ini memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah serius di laut seperti penyeludupan migran, aktiviti perikanan haram tanpa laporan dan kawalan (IUU), serta penyeludupan barangan terlarang yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan OP REDBACK 20 di Port Dickson.

Bagi edisi kali ini, operasi penguatkuasaan dijalankan meliputi kawasan seluas 2,860 kilometer persegi dari Kuala Sepang, Selangor sehingga ke Kuala Kesang, Muar.
Ia membabitkan penyertaan empat aset laut milik Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) DANGA, bot BENTENG 04, bot PERKASA 37 dan bot PENGGALANG 38.
Sepanjang operasi lima hari itu, sebanyak 122 pemeriksaan telah dijalankan ke atas pelbagai jenis vesel termasuk kapal dagang, vesel nelayan tempatan, bot penumpang dan bot tunda.
Hasil pemeriksaan ini membantu memperkukuh kawalan dan pengesanan awal terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia telah menahan seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh Januari hingga April 2025.
Daripada jumlah itu, lapan adalah warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar yang dipercayai cuba keluar atau masuk ke negara ini melalui laluan tikus.

Sepanjang tempoh yang sama, agensi itu turut merekodkan 16 tangkapan berkaitan penyeludupan barangan kawalan seperti petrol dan diesel, manakala 17 lagi kes membabitkan barangan kontraban termasuk rokok, minuman keras serta tong gas LPG.
Nilai keseluruhan rampasan yang diperoleh daripada kes-kes ini dianggarkan melebihi RM9.2 juta.
Selain operasi penguatkuasaan, OP REDBACK 20 turut menampilkan komponen ilmiah dan pendidikan melalui penganjuran seminar yang menghimpunkan pakar-pakar keselamatan maritim antarabangsa.
Antara yang terbabit ialah Profesor Stuart Kaye, Pengarah Australian National Centre for Ocean Resources & Security (ANCORS) dan Dr. Sarah Lothian, Pensyarah Kanan ANCORS, yang berkongsi pandangan mengenai strategi keselamatan maritim serantau.
Turut diadakan ialah program mesra rakyat atau Community Engagement yang berlangsung di dua lokasi iaitu Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka pada 6 Mei, serta di Jeti Nelayan Telok Pelandok, Port Dickson pada 8 Mei.
Program ini memberi ruang kepada Maritim Malaysia untuk mendekati komuniti setempat, terutamanya golongan nelayan, di samping menyampaikan mesej berkaitan keselamatan di laut.

Sebanyak 100 jaket keselamatan telah diedarkan kepada komuniti nelayan sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran maritim.
Majlis penutup turut dihadiri oleh Superintendan Brooke Leung, Kaunselor ABF di Suruhanjaya Tinggi Australia, serta Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan.
Kejayaan pelaksanaan OP REDBACK 20 sekali lagi membuktikan bahawa kerjasama antarabangsa dalam aspek keselamatan perairan adalah penting dan perlu diteruskan secara berterusan bagi menangani cabaran jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks dan mencabar.

