editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – MIG tampil memperkenalkan dua filem baharu mereka yang bakal menemui penonton tidak lama lagi iaitu Citra Apartment dan Lakhus Penghulu Jin.
Pada majlis yang turut meraikan sambutan Aidilfitri, beberapa pelakon terbabit turut hadir berkongsi serba sedikit mengenai pengalaman mereka menjayakan filem berkenaan.
Citra Apartment, yang bakal ditayangkan pada bulan Julai 2025, manakala Lakhus Penghulu Jin, baru sahaja menamatkan penggambaran pada Mac lalu.
Penerbit filem Lakhus Penghulu Jin, David Teo berkata, filem Iitu kini berada dalam fasa penyuntingan offline.
“Saya berada bersama editor sepanjang proses penyuntingan untuk memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar.
“Lakhus Penghulu Jin membawa elemen yang sangat berbeza daripada filem-filem terbitan MIG sebelum ini, dengan mengangkat tema ‘art berat’,” katanya.

David berkata, pemilihan Azmir Affendi sebagai pengarah dibuat setelah beliau melihat kemampuan pengarah muda ini dalam menghasilkan karya seni yang lebih mendalam dan berbeza.
“Saya yakin filem ini akan membawa filem terbitan MIG ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Lakhus Penghulu Jin dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini dan membariskan pelakon seperti Qi Razali, Yasmin Hani, Maria Farida, Namron, Nafis Anuar, dan ramai lagi.
Sementara itu, Jason Teo, penerbit filem Citra Apartment, berkata, filem ini mengangkat konsep timeloop, meskipun bukanlah konsep yang baharu, tetapi tetap menawarkan elemen menarik untuk dihidangkan kepada penonton.
“Saya berharap Citra Apartment dapat memenuhi kehendak penonton yang mencari sesuatu yang berbeza,” katanya.
Citra Apartment dijangka ditayangkan pada 3 Julai 2025 dan membariskan pelakon seperti Elisya Sandha, Liang Chia, Razdan Shamsudin, Hanna Halim, dan beberapa nama besar lagi.
Filem ini diarahkan oleh pengarah berbakat, Amor Rizan.
Selain itu, MIG turut mengumumkan perkembangan projek-projek filem seterusnya.

Mereka akan memulakan penggambaran filem arahan Pierre Andre pada bulan Mei bertajuk Nar’Sata: Sekutu Setan.
Filem bergenre Horror Thriller ini akan menjadi projek ketiga Pierre Andre bersama MIG selepas lebih 10 tahun menyepi.

MIG juga akan menerbitkan sebuah filem Heavy Drama yang diarahkan oleh Eyra Rahman, yang dijangka memulakan penggambaran pada bulan September 2025.
Dengan pelbagai projek menarik yang bakal diterbitkan, MIG terus berusaha untuk mempersembahkan karya-karya yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton, dengan sokongan daripada semua pihak, terutama dalam kalangan peminat industri perfileman tanah air.


pembetulan. jika merujuk pada instagram beliau bukan Nafis Anuar, tetapi Nafiz Anuar.
maafkan saya juga jika tersalah.