25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Al-Ikhsan lancar kempen nasional “For Everyday Athletes”, raikan semangat aktif rakyat Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Jenama sukan tempatan yang sinonim dengan gaya hidup aktif rakyat Malaysia, Al-Ikhsan Sports, tampil dengan hala tuju baharu menerusi pelancaran kempen nasional bertemakan For Everyday Athletes.

Kempen ini menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memilih untuk kekal aktif dalam kehidupan seharian, biarpun dalam rutin yang penuh cabaran.

Diperkenalkan secara rasmi di Elmina Lakeside Mall, kempen ini membawa mesej bahawa setiap individu adalah atlet dalam caranya tersendiri sama ada mereka yang berjalan kaki ke tempat kerja, bersenam di ruang tamu rumah, mahupun mereka yang tidak pernah alpa menjaga kesihatan walau sesibuk mana sekalipun.

Ia adalah seruan kepada seluruh masyarakat untuk menjadikan gaya hidup aktif sebagai budaya yang menyatu dalam kehidupan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Datuk Hishammudin Hasan berkata, kempen ini adalah cerminan komitmen jenama itu dalam memperkukuh peranan mereka bukan sekadar sebagai peruncit, malah sebagai penggerak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Kami bukan hanya menjual kasut dan jersi, kami sedang mencetuskan satu pergerakan nasional.

For Everyday Athletes adalah tentang menyuntik inspirasi kepada rakyat biasa yang memilih untuk terus bergerak dan kekal aktif dalam apa jua keadaan,” katanya penuh semangat.

Ditubuhkan lebih tiga dekad lalu dengan hanya sebuah kedai kecil di Johor Bahru, Al-Ikhsan kini berkembang pesat dengan 187 cawangan fizikal di seluruh Semenanjung Malaysia, selain memiliki tiga platform digital yang memudahkan akses pengguna kepada pelbagai produk sukan terkini.

Dalam meniti transformasi sebagai jenama gaya hidup aktif, Al-Ikhsan terus mengekalkan akar umbinya bersama komuniti, menyokong semangat kesukanan dan kecergasan dari dahulu hingga kini.

Sebagai simbol kepada permulaan fasa baharu ini, Al-Ikhsan turut memperkenalkan kedai konsep generasi baharu di Elmina Lakeside Mall.

Direka dengan sentuhan moden, premis ini bukan sahaja menawarkan produk tempatan dan antarabangsa yang lebih segar, malah turut menjadi pusat aktiviti komuniti yang menjurus kepada gaya hidup sihat dan dinamik.

Antara inisiatif yang diperkenalkan di bawah kempen For Everyday Athletes termasuk program keahlian eksklusif yang akan dilancarkan bermula Jun 2025.

Program ini akan memberi ganjaran kepada pelanggan yang aktif menyertai aktiviti kecergasan serta menyediakan platform untuk pelbagai program komuniti yang menghubungkan rakyat daripada pelbagai latar belakang melalui minat yang sama iaitu kehidupan yang sihat dan aktif.

Dengan pelancaran kempen ini, Al-Ikhsan Sports menegaskan komitmennya sebagai rakan perjalanan setia buat semua rakyat Malaysia.

Dari setiap peluh yang mengalir, langkah yang diambil dan semangat untuk terus bergerak, Al-Ikhsan mahu menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan rakyat bukan hanya sebagai jenama, tetapi sebagai satu gerakan yang meraikan kehidupan aktif setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular