27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Mahu anak ramai, Elon Musk didakwa hantar sperma kepada wanita di Jepun

editormaxinfo@gmail.com

NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, sekali lagi menjadi perhatian dunia selepas didakwa menghantar sperma kepada seorang wanita di Jepun dalam usaha berterusannya untuk memiliki bilangan anak yang ramai.

Menurut laporan eksklusif yang diterbitkan oleh Wall Street Journal, jutawan teknologi itu dikatakan komited untuk membina apa yang digambarkan sebagai “kumpulan besar anak” demi masa depan manusia.

Musk, 53, yang terkenal dengan pandangan luar biasa dan pendekatan tidak konvensional terhadap kehidupan dan perniagaan, kini disahkan mempunyai sekurang-kurangnya 14 orang anak hasil hubungan dengan empat wanita berbeza.

Mereka termasuk bekas isterinya Justine Musk, penyanyi terkenal Grimes, eksekutif Neuralink Shivon Zilis, serta personaliti media konservatif Amerika Syarikat, Ashley St Clair.

Pendedahan terbaru berkisar kepada hubungan Musk dengan St Clair, 26, yang mendedahkan beliau telah melahirkan anak ke-13 Musk pada September tahun lalu.

Dalam laporan itu, St Clair turut berkongsi beberapa mesej peribadi antara mereka, termasuk kenyataan Musk yang menyuarakan hasratnya untuk menambah bilangan anak melalui kaedah ibu tumpang.

Antara mesej yang dipetik berbunyi: “Saya nak hamilkan awak lagi. Guna ibu tumpang pun tak apa, kita kena capai tahap legiun sebelum kiamat.”

Musk turut dilaporkan menggunakan platform media sosial miliknya untuk mengenal pasti bakal ibu dan menggalakkan penggunaan ibu tumpang bagi mempercepatkan usaha menambah bilangan zuriat.

Dalam satu lagi pendedahan yang menggemparkan, St Clair memaklumkan beliau pernah ditawarkan sejumlah AS$15 juta (sekitar RM71.4 juta) serta bayaran bulanan sebanyak AS$100,000 (RM476,000) sebagai syarat untuk merahsiakan identiti sebenar bapa kepada anaknya.

Namun, bayaran itu dilaporkan telah dikurangkan secara drastik selepas hubungan mereka terbongkar kepada umum pada Februari lalu.

Nilainya mula-mula diturunkan kepada AS$40,000 (RM190,400) dan kemudiannya berkurang lagi kepada AS$20,000 (RM95,200) sebulan.

Antara pendedahan yang paling mencuri perhatian dalam laporan itu adalah dakwaan Musk telah menghantar sperma kepada seorang wanita berprofil tinggi di Jepun.

Tindakan itu dikatakan berlaku selepas beliau didekati oleh pegawai dari negara itu yang berkongsi kebimbangan sama terhadap kadar kelahiran yang semakin menurun.

Musk, yang sering mengutarakan pandangan tentang isu demografi global, tidak pernah menyembunyikan pendiriannya bahawa kadar kelahiran yang rendah adalah ancaman besar kepada masa depan manusia.

Beliau percaya individu yang bijak dan berpendidikan perlu memiliki lebih ramai anak bagi memastikan kesinambungan tamadun manusia yang berintelektual dan inovatif.

Pendedahan ini sekali lagi mencetuskan perbincangan hangat di peringkat antarabangsa mengenai isu etika, tanggungjawab sosial dan had peranan individu berpengaruh dalam membentuk masa depan populasi dunia.

Buat masa ini, Elon Musk belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang terkandung dalam laporan Wall Street Journal itu. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular