editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan Hari Bumi 2025, dua entiti tempatan tampil berganding bahu dalam usaha memperkasa wanita dan memelihara alam sekitar menerusi satu inisiatif unik.
MADCash Sdn. Bhd., syarikat fintech yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan terkenal dengan peranan memperkasa wanita melalui mikro-pembiayaan, telah bekerjasama dengan ERTH (Electronic Recycling Through Heroes), sebuah organisasi berpangkalan di Cyberjaya yang mempelopori usaha kitar semula sisa elektronik, bagi melancarkan Program MADCash x ERTH Mini Hub.
Program perintis ini sudahpun berrmula secara rasmi dan akan menyaksikan pembukaan pusat kutipan sisa elektronik yang diusahakan oleh sepuluh usahawan wanita yang diberi gelaran MADCash x ERTH Divas di sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.
Matlamat utama program ini adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya 5,000 kilogram sisa elektronik dalam tempoh 12 bulan sambil membuka peluang pendapatan mampan kepada wanita tempatan.
Sebagai langkah permulaan, ERTH telah memperuntukkan dana sebanyak RM5,000 untuk disalurkan kepada MADCash sebagai pinjaman mikro kepada peserta.
Setiap usahawan wanita terpilih akan menerima pinjaman permulaan sebanyak RM500 sebagai modal untuk membeli sisa elektronik yang dikumpulkan dari komuniti masing-masing.

Pengasas MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin, berkata inisiatif ini sejajar dengan misi organisasi untuk mencipta peluang kehidupan yang lestari bagi wanita.
Menurutnya, dengan menggabungkan keusahawanan hijau ke dalam model pembiayaan MADCash, mereka bukan sahaja memperkasa wanita dari sudut kewangan, tetapi juga memupuk generasi baharu pemimpin perniagaan yang prihatin terhadap alam sekitar.
“Ini bukan sekadar program jangka pendek. Ia satu pelaburan masa depan yang bertujuan membentuk perubahan jangka panjang dalam kalangan komuniti wanita,” katanya.
Sementara itu, pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry berkata, pentingnya penyelesaian berasaskan komuniti dalam menangani isu sisa elektronik yang semakin meruncing.
Beliau percaya program ini dapat menjadikan wanita biasa sebagai wira alam sekitar, sekali gus membuktikan bahawa tindakan kecil mampu membawa perubahan besar.
Matlamat utama program ini adalah untuk mempromosikan konsep keusahawanan hijau dan memberi galakan kepada wanita untuk mengendalikan perniagaan mikro berasaskan kelestarian dalam komuniti mereka sendiri.
Melalui pendekatan ini, program bukan sahaja menanam kesedaran alam sekitar, tetapi turut menggalakkan tanggungjawab sosial dan ekonomi.
Projek rintis ini akan dinilai secara berkala oleh pihak MADCash dan ERTH untuk mengenal pasti potensi peluasan program pada masa akan datang.
Sekiranya terbukti berkesan dari segi impak alam sekitar serta peningkatan pendapatan peserta, model ini berpotensi diperluaskan ke seluruh negara.
Sisa elektronik adalah salah satu cabaran alam sekitar yang paling serius pada masa kini, dengan pembuangan tidak terkawal yang boleh mencetuskan pencemaran dan bahaya kesihatan awam.
Melalui penyertaan wanita sebagai ejen pengumpulan sisa elektronik, program ini berjaya menggabungkan penyelesaian kepada dua isu kritikal pengurusan e-sisa dan pemerkasaan ekonomi wanita.
MADCash kini sedang dalam proses memilih 10 peserta yang bakal memulakan peranan mereka menjelang 5 Mei 2025.

Peserta terpilih akan diberikan latihan serta sumber yang diperlukan untuk mengendalikan mini hub masing-masing dengan berkesan.
Kejayaan program ini akan diukur melalui jumlah sisa elektronik yang berjaya dikumpul serta pertumbuhan sosioekonomi peserta.
Sekiranya impak yang dijana melepasi sasaran, tidak mustahil pendekatan ini akan menjadi model nasional dalam usaha memperkasa wanita melalui keusahawanan berteraskan kelestarian.
Orang ramai turut digalakkan untuk menyokong inisiatif ini dengan mendermakan barangan elektronik terpakai seperti telefon lama, komputer riba, kabel dan sebagainya di lokasi-lokasi pengumpulan yang akan diumumkan.
Selain itu, mereka juga boleh membantu dengan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan pelupusan e-waste secara bertanggungjawab serta mencalonkan wanita usahawan bagi penyertaan fasa seterusnya program ini.


Very good https://lc.cx/xjXBQT
Very good https://lc.cx/xjXBQT
Awesome https://lc.cx/xjXBQT