27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Projek Warisan KL cerminan jiwa Kuala Lumpur dan aspirasi Malaysia MADANI

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kuala Lumpur bakal menyaksikan satu lagi transformasi besar menerusi pelancaran Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI, yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Inisiatif ini bukan sekadar menumpukan kepada pembangunan fizikal semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada pemuliharaan budaya, sejarah dan pengukuhan nilai komuniti ibu kota.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, projek berimpak tinggi ini dilihat sebagai usaha holistik untuk menyemarakkan semula nadi Kuala Lumpur melalui pendekatan yang berasaskan nilai dan peradaban, seiring dengan prinsip Malaysia MADANI.

“Perdana Menteri melihat Warisan KL sebagai lambang pemulihan jiwa kota, bukan sahaja melalui pembangunan infrastruktur, tetapi juga melalui pemulihan budaya dan nilai kehidupan masyarakat bandar.

“Ia satu gagasan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar kreatif dan berkebudayaan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.

Tunku Nashrul berkata, sejak awal pentadbirannya, Perdana Menteri sering menekankan pembangunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencakar langit atau projek mega semata-mata.

Sebaliknya, pembangunan harus dapat menyentuh kehidupan rakyat, membina sebuah kota yang hidup, inklusif dan bermakna untuk semua lapisan masyarakat.

Warisan KL ialah manifestasi nyata prinsip itu membina masa depan tanpa meminggirkan akar dan nilai sejarah yang membentuk jati diri negara.

Ia tentang bagaimana nilai, budaya dan warisan negara dapat dimanfaatkan oleh rakyat serta menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia,” katanya lagi.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan ini harus dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang, bukan sahaja dalam memelihara tapak warisan sejarah, malah membangkitkan rasa cinta dan penghargaan rakyat terhadap warisan negara yang tidak ternilai.

“Kerajaan tidak akan mengambil sikap sambil lewa terhadap mercu tanda sejarah yang mempunyai kepentingan signifikan kepada pembangunan negara.

“Setiap warisan yang ada adalah saksi bisu perjalanan kita sebagai sebuah bangsa, dan harus terus dijaga dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Projek Warisan KL akan dilaksanakan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Think City, Khazanah Nasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta penggiat seni dan budaya.

Kerjasama strategik ini mencerminkan iltizam bersama dalam merealisasikan Kuala Lumpur sebagai kota milik semua sebuah kota yang mencerminkan jati diri bangsa, warisan sejarah dan cita rasa masa depan yang progresif.

Pelancaran projek ini dijangka membawa dimensi baharu dalam pendekatan pembangunan bandar, dengan menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi, tetapi juga sebagai simbol warisan, budaya dan nilai MADANI yang tulen dan menyeluruh.

ARTIKEL BERKAITAN

2 COMMENTS

Comments are closed.

Popular