editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan rel Laluan Kelana Jaya, mengesahkan berlaku gangguan teknikal pada sebuah tren bernombor 84 di Stesen Abdullah Hukum pada 12 Mac 2025.
Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, insiden terbabit yang tular di media sosial dilaporkan berlaku sekitar jam 10.43 malam, disebabkan oleh kerosakan pada komponen pemasangan pengumpul kuasa pada tren berkenaan.
“Kejadian ini menyebabkan kepulan asap kecil serta bunyi dentuman, namun tiada kecederaan dilaporkan membabitkan penumpang.
“Pegawai transit yang bertugas di dalam tren segera bertindak mengikut prosedur standard operasi dengan memandu semua penumpang untuk turun di Stesen Abdullah Hukum.
“Perkhidmatan tren alternatif segera disediakan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi mereka,” katanya.
Katanya, tren yang terjejas itu telah dihantar ke depoh penyelenggaraan untuk siasatan lanjut.
Rapid Rail juga mengambil langkah-langkah segera dengan mempertingkatkan pemeriksaan ke atas semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya untuk memastikan perkhidmatan tren sentiasa berada pada tahap yang optimum dan selamat.
Selain itu, pemantauan yang lebih kerap juga akan dijalankan oleh pegawai transit, terutamanya di dalam tren ketika waktu puncak, bagi mengelakkan insiden serupa daripada berulang.
“Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh penumpang semasa insiden berlaku dan berjanji untuk terus melakukan penambahbaikan demi memastikan perjalanan penumpang Rapid KL sentiasa selamat, selesa, dan lancar,” katanya.

