26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Perkhidmatan ETS dari KL Ke Segamat kini bermula, permudahkan perjalanan pengguna

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) kini menawarkan laluan baru yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Segamat, memulakan perjalanan sulung dari Stesen Segamat ke Padang Besar tepat pada jam 7.55 pagi semalam, sekali gus memperluaskan rangkaian rel negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, perjalanan dari Stesen Butterworth ke Stesen Segamat juga bermula pada jam 7.50 pagi dan dijangka tiba pada 2.57 petang.

Perkhidmatan ini membabitkan laluan sedia ada yang menghubungkan Butterworth-Gemas-Butterworth serta Padang Besar-Gemas-Padang Besar.

“Perkenalan perkhidmatan ETS ke Segamat ini adalah satu langkah besar dalam memberikan kemudahan perjalanan rel moden kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Dengan lanjutan perkhidmatan ini, kami berharap dapat meningkatkan pengangkutan awam serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, laluan baharu ini dijangka dapat merancakkan aktiviti ekonomi di Segamat dengan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dan menarik lebih ramai pelawat.

Untuk mempromosikan perkhidmatan baru ini, KTMB telah melancarkan aktiviti promosi yang bermula tiga hari lalu, dengan mengunjungi pejabat kerajaan, pasar raya, masjid, serta bazar Ramadan sekitar Segamat untuk berinteraksi dengan orang ramai dan menghebahkan perkhidmatan ETS ke Segamat.

KTMB juga menawarkan promosi khas berupa diskaun RM10 untuk perjalanan tren EG9321, EG9322, EG9420, dan EG9425, tertakluk kepada terma dan syarat.

Bagi memeriahkan lagi pelancaran perkhidmatan ini, jualan barangan eksklusif Rail Boutique KTMB dan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) turut diadakan di Stesen Segamat.

Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my, mesin kiosk KTMB, atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

Perkhidmatan ETS ini bukan sahaja mempermudah perjalanan tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan aksesibiliti bagi penduduk Segamat dan kawasan sekitarnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular