26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

AMK minta Akmal Saleh hentikan serangan terhadap Kerajaan Perpaduan

editormaxinfo@gmail

KUALA LUMPUR – ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) meminta serangan yang dimulakan sama ada secara terangan-terangan mahupun halus oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh terhadap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dielakkan.

Pengarah Komunikasinya, Haziq Azfar berkata, pada saat penilaian rakyat mengenai prestasi kerajaan semasa terus kritikal, Muhammad Akmal tidak boleh mengeruhkan lagi keadaan dengan memulakan provokasi hanya kerana tidak berpuas hati dengan keadaan semasa.

“Adalah tidak adil buat rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang berusaha mengekalkan keharmonian dan hormat menghormati dalam kalangan komponen tatkala pemimpin utama UMNO seperti beliau mengeluarkan kenyataan yang berupaya mewujudkan perasaan syak wasangka antara satu sama lain.

“Sebaliknya, beliau dicadang untuk terus menumpukan usaha yang mampu memberi nilai tambah seperti terus mengukuhkan sokongan anak muda Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan, sekali gus menjadi pemain pasukan yang baik dan mengendurkan persengketaan antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pada Jumaat, Hantaran Muhammad Akmal yang dimuat naik bersama gambar ketika Himpunan Aman Pulangkan Najib tahun lalu menimbulkan tanda tanya.

Ia dipercayai dibuat sebaik sahaja keputusan Lembaga Pengampunan yang mengesahkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dikeluarkan.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tentang sebarang perkara yang dimaksudkan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular