29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Keluarga DUN Pelabuhan Klang terima baucar beli-belah sempena Tahun Baharu Cina

Oleh Nas Norziela Nasbah

editormaxinfo@gmail.com

KLANG – Seramai 400 keluarga di DUN Pelabuhan Klang menerima baucar beli-belah bagi meringkan beban mereka membuat dalam persiapan akhir perayaan Tahun Baharu Cina.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata pihaknya membuat saringan bagi memastikan golongan yang benar-benar layak sahaja menerima sumbangan RM200 daripada Kerajaan Negeri.

“Tahun ini kita mendapat kerjasama daripada Pasaraya Econsave yang telah memastikan stok barang untuk persiapan Tahun Baharu Cina mencukupi bagi memudahkan penerima baucar membeli belah di sini,” katanya.

Terdahulu, Azmizam menyempurnakan majlis penyerahan baucar berkenaan kepada masyarakat Tiong Hua di Econsave Pandamaran, baru-baru ini.

Beliau memaklumkan pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan Tahun Baharu Cina sekitar DUN itu.

“Kita juga menerima bantuan daripada Persatuan Kilang-kilang di Pelabuhan Klang membantu masyarakat Tiong Hua terutamanya bagi meringankan beban keluarga memerlukan.

“Dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini, kita memahami keperluan dan cuba sedaya upaya menghulurkan bantuan,” katanya lagi.

Sementara itu, penerima Tan Boon Ching, 58, bersyukur kerana masih berpeluang menerima bantuan baucar berkenaan seperti tahun sebelumnya.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana membantu golongan berpendapatan rendah seperti kami dan sudah pasti kami akan memanfaatkan bantuan ini untuk persiapan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Kwa Guat Huay, 54, selain terharu di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan dan kebajikan penduduk.

“Hari ini saya hanya keluarkan RM8 untuk semua barangan keperluan menyambut Tahun Baharu Cina selepas menebus baucar yang saya terima,” katanya. -Selangorkini

ARTIKEL BERKAITAN

Popular