28.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 11, 2025

Syamel tidak halang anak ceburi bidang seni

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Menyedari anak sudah menunjukkan minat terhadap bidang seni, penyanyi Syamel tidak menghalang namun tetap mahu anak mempunyai pendidikan.

Syamel berkata, Nur Khawla Soleha yang kini memasuki usia 2 tahun sudah menunjukkan minat menyanyi dan menari, namun tidak pasti minat anaknya sejauh mana.

“Ketika di rumah, saya lihat Nur Khawla suka menari, menyanyi dan cenderung ke arah seni. Tetapi kami tidak memaksa cuma sekadar memberi sokongan.

“Adalah juga beberapa mainan saya belikan seperti piano, mikrofon bagi menambah minat dalam dirinya.

“Sementara dia masih kecil kami hanya pantau dan sokong sahaja apa yang dia suka lakukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Wacana Srikandi Sempen Hari Wanita Sedunia anjuran SACC Convention Sdn Bhd.

Sementara itu, Syamel berkata dia sentiasa mengambil berat soal pendidikan dan berharap biarlah jika Nur Khawla menceburi bidang seni ia seiring dengan pendidikannya.

“Apa juga pendedahan yang kami berikan, saya mahu ia diseimbangkan.

“Kami masih percaya pegangan ibu bapa dulu-dulu yang mana kita pergi ke sekolah, kalau ada masa lebih hantar ke kelas piano dan sebagainya.

“Bagi saya, pendidikan sangat penting, sebagai ibu bapa kami berperanan dalam memberi didikan yang terbaik untuk anak.

“Semua ini demi jaminan masa depan untuk mereka juga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syamel turut berkongsi Nur Khawla turut dipelawa oleh beberapa agensi, namun dia dan Ernie cuba mengehadkan pembabitan Nur Khawla dalam bidang seni kerana masih kecil.

“Ada sahaja tawaran diberikan namun kami tidak mahu ambil ‘job’ yang terlalu banyak untuk Nur Khawla.

“Kami tidak mahu Nur Khawla merasa yang dia sudah mula bekerja. Bimbang juga jika emosi dan mindanya sebagai anak yang masih kecil terganggu,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular