26.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 10, 2026

JobCare Selangor tawar lebih 40,000 peluang pekerjaan bermula April

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor yang memasuki tahun keempat akan menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan di sembilan daerah di Selangor bermula April ini.

 EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata, inisiatif ini akan membabitkan pelbagai sektor pekerjaan termasuk perkhidmatan, pemasaran, kesihatan, dan pengangkutan, yang bertujuan memberi peluang kepada pencari kerja untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kerajaan Selangor menggalakkan pencari kerja untuk memanfaatkan peluang yang ada demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Program JobCare ini akan berlangsung di beberapa lokasi di Selangor, dengan tarikh dan lokasi berikut:

  • Gombak (19 April – Dewan Seri Siantan Selayang)
  • Petaling (24 Mei – Dewan Serbaguna MBPJ SS3)
  • Kuala Langat (21 Jun – Dewan Sri Jugra)
  • Hulu Selangor (5 Julai – Dewan Merdeka KKB)
  • Hulu Langat (19 Julai – Dewan Perbandaran MPAJ)
  • Klang (27 September – Dewan Hamzah)
  • Kuala Selangor (9 Ogos – Dewan MPKS Puncak Alam)
  • Sabak Bernam (11 Oktober – Dewan Tun Razak)
  • Sepang (15 November – Dewan Komuniti BBST)

Jelajah JobCare ini dimulakan pada tahun 2022 sebagai salah satu inisiatif pentadbiran negeri untuk membantu golongan yang kehilangan pekerjaan akibat kesan pandemik Covid-19. Papparaidu berkata, Kerajaan Selangor merancang untuk mengadakan program Karnival Kerjaya Khas yang membabitkan penyertaan lebih 40 syarikat dari sektor awam dan swasta.

Bagi yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam, mereka disarankan untuk mendaftar melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di www.spa.gov.my atau melayari portal negeri di www.selangor.gov.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat padanan kerja melalui portal Kementerian Sumber Manusia di www.myfuturejobs.gov.my.

Papparaidu berkata, seramai 2,465 daripada 2,530 individu di Selangor telah kembali bekerja setakat 14 Februari lalu.

Menurutnya, terdapat 49,526 kekosongan jawatan di Selangor dengan 5,437 pencari kerja, berdasarkan laporan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Keberhasilan penempatan semula sebanyak 2,465 individu ke dalam pekerjaan baru ini mencerminkan peluang besar yang wujud dalam pasaran kerja di Selangor,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular