27.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026

36 Tahun YBK: Lebih 200,000 keluarga dibantu basmi kemiskinan

editormaxinfo@gmail.com

KELANA JAYA – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-36 sejak penubuhannya pada tahun 1990, sekali gus menandakan lebih tiga dekad komitmen berterusan dalam memperjuangkan agenda pembasmian kemiskinan secara holistik dan bersepadu di Malaysia.

Sepanjang tempoh itu, YBK telah menyantuni lebih 200,000 keluarga, bersamaan hampir satu juta individu melalui pelbagai inisiatif merangkumi pendidikan, pembangunan sosioekonomi, latihan kemahiran serta bantuan kebajikan.

Usaha ini dilaksanakan secara langsung dan tidak langsung, dengan fokus untuk memastikan golongan sasar mendapat peluang meningkatkan taraf hidup secara mampan.

Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom, menzahirkan rasa syukur atas kesinambungan perjuangan yayasan itu yang terus mendapat sokongan padu daripada warga kerja, rakan strategik serta hampir 100,000 sukarelawan di seluruh negara.

Menurut beliau, usaha pembasmian kemiskinan yang digerakkan YBK tidak hanya tertumpu kepada aspek material semata-mata, sebaliknya turut merangkumi dimensi pemikiran, nilai dan tanggungjawab dalam masyarakat.

Sejak penubuhannya, YBK berpegang kepada pendekatan memperkasa komuniti melalui falsafah “memberi joran, bukan ikan”, yang menekankan usaha membimbing penerima manfaat agar mampu berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan.

Melalui pendekatan ini, bantuan yang disalurkan bukan sekadar bersifat sementara, tetapi bertujuan membina keupayaan jangka panjang dalam kalangan komuniti.

Pendekatan itu turut diperkukuh menerusi strategi Lautan Biru dan konsep “Semangat Mendaki”, yang memberi penekanan kepada inovasi, penerokaan peluang baharu serta penggunaan ilmu dan teknologi dalam pembangunan komuniti secara lebih berkesan.

Dalam landskap pembangunan sosial yang semakin kompleks, YBK juga memainkan peranan sebagai penghubung strategik dengan menghubungkan komuniti sasaran kepada pelbagai agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Inisiatif seperti program Jelajah Sejuta Harapan menyaksikan YBK turun padang bersama rakan strategik bagi memastikan bantuan dan intervensi dapat disampaikan secara lebih efektif, pantas dan menyeluruh.

Selain itu, program-program lain seperti Asrama Kasih YBK, Akademi Kemahiran YBK dan Sinar Kasih Ramadan turut dilaksanakan dengan pendekatan kolaboratif, membabitkan pelbagai pihak bagi memastikan hubungan yang kukuh dapat dibina antara penerima manfaat dan pemegang taruh.

Pada masa akan datang, YBK akan terus memperkukuh fokus terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang pendidikan, kemahiran serta pembinaan jati diri.

Yayasan itu komited untuk melahirkan masyarakat yang bukan sahaja bebas daripada kemiskinan, malah berdaya tahan, berilmu dan bermaruah.

Sambutan ulang tahun ke-36 ini bukan sekadar satu pencapaian, sebaliknya menjadi simbol kepada kesinambungan perjuangan yang masih panjang.

Dengan tekad yang berterusan, YBK berhasrat untuk memperluas impak, memperkukuh jaringan kerjasama serta memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam arus pembangunan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular