26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 31, 2026

NOIR sasar jualan RM100 juta, kolaborasi strategik bersama PAUL buka peluang tembusi pasaran antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama kecantikan tempatan, NOIR, terus mengorak langkah agresif dalam memperkukuh kedudukan industri apabila menjalin kolaborasi strategik bersama jenama bakeri dan boulangerie Perancis terkemuka dunia, PAUL, sekali gus membuka laluan ke arah pengembangan pasaran global.

Kolaborasi yang bakal berlangsung sepanjang bulan Ramadan di PAUL Pavilion Kuala Lumpur itu dilihat sebagai langkah strategik berimpak tinggi dari sudut pemasaran jenama, selain menjadi platform penting buat NOIR memperkenalkan identitinya kepada audiens yang lebih luas, termasuk peringkat antarabangsa.

Pengasas NOIR, Eriyca Baiduri Abd Rashid atau lebih dikenali sebagai Madammu, menyifatkan Kerjasama itu sebagai satu peluang besar dalam perjalanan pertumbuhan jenama tempatan berkenaan.

Menurut beliau, kolaborasi bersama PAUL bukan sekadar kerjasama komersial, sebaliknya membawa nilai simbolik yang signifikan buat NOIR.

“Nama NOIR sendiri berasal daripada bahasa Perancis, justeru kerjasama dengan PAUL yang juga jenama global dari Perancis dilihat sangat selari dengan identiti jenama.

“Peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman pelanggan PAUL sepanjang Ramadan adalah satu penghormatan besar buat NOIR,” katanya.

Eriyca berkata, fokus utama NOIR ketika ini adalah pemasaran yang berkesan bagi memastikan jenama itu terus kekal relevan dan dikenali.

“Pemasaran adalah elemen terpenting dalam membina kepercayaan pengguna, kerana sesuatu produk tidak akan dibeli sekiranya tidak dikenali oleh pasaran.

“Kolaborasi ini juga disifatkan sebagai langkah seterusnya dalam pelan jangka panjang NOIR untuk berkembang lebih jauh, termasuk perancangan pembukaan cawangan baharu serta aspirasi membawa jenama itu ke pasaran luar negara pada masa hadapan,” katanya.

Eriyca berkata, NOIR berhasrat untuk berkembang secara meluas seiring jenama global seperti PAUL yang telah berjaya menembusi pelbagai negara di seluruh dunia.

Ditubuhkan pada tahun 2017, NOIR kini menyasarkan jualan tahunan mencecah RM100 juta, selari dengan usaha berterusan dalam memperluaskan perniagaan serta memperkukuh kedudukan jenama dalam industri kecantikan tempatan yang semakin kompetitif.

Melalui kolaborasi PAUL X NOIR, pengunjung bakal disajikan dengan pengalaman eksklusif yang menggabungkan elemen gastronomi dan kecantikan dalam satu suasana premium.

Antara tarikan utama adalah French Iftar Buffet eksklusif di PAUL Pavilion Kuala Lumpur, yang menampilkan hidangan Perancis istimewa diolah khusus untuk berbuka puasa dalam suasana tenang dan berkelas.

Selain itu, elemen kecantikan NOIR turut diketengahkan menerusi pelancaran edisi khas L’Amour daripada koleksi Velvet Care Lipstick, yang diinspirasikan daripada estetika dan romantisme Perancis, selari dengan konsep kolaborasi dua jenama berprestij itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan PAUL, Jean Pierre Erba, berkata kolaborasi bersama NOIR mencerminkan pendekatan jenama itu dalam memperluaskan pengalaman gaya hidup kepada pelanggan di Malaysia.

Menurutnya, PAUL sentiasa menekankan gaya hidup Perancis yang autentik, bukan hanya tertumpu kepada makanan semata-mata.

“Kerjasama ini menggabungkan seni gastronomi Perancis dengan elemen kecantikan dan ekspresi diri, sekali gus mewujudkan pengalaman Ramadan yang lebih bermakna dan berbeza untuk pelanggan tempatan.

“Malaysia adalah pasaran penting bagi PAUL dan inisiatif sebegini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menawarkan pengalaman berkualiti tinggi yang relevan dengan budaya tempatan, tanpa mengabaikan identiti global jenama,” katanya.

PAUL kini memiliki lebih 750 cawangan di 45 negara dan terus memperkukuh strategi pertumbuhan perniagaan berasaskan keperluan serta kehendak pelanggan di setiap pasaran.

Secara keseluruhan, gabungan NOIR dan PAUL mencerminkan trend semasa dunia perniagaan yang semakin menekankan kolaborasi strategik bagi memperluas capaian pasaran, mengukuhkan nilai jenama serta membina hubungan yang lebih dekat dan bermakna dengan pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular