25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Utamakan kebajikan pekerja, rahsia Gula Cakery berkembang pantas dalam industri F&B

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kejayaan Gula Cakery yang kini semakin dikenali sebagai antara jenama bakeri tempatan yang berkembang pesat bukan sekadar bergantung kepada produk tular atau pembukaan cawangan baharu, sebaliknya berpaksikan kepada pendekatan syarikat yang mengutamakan kebajikan pekerja sebagai teras utama pertumbuhan perniagaan.

Pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, berkata sejak hari pertama penubuhan, beliau meletakkan kepercayaan penuh bahawa kejayaan sesebuah perniagaan bermula dengan kebahagiaan dan kesejahteraan pasukan di belakang tabir.

Menurutnya, apabila pekerja diberi ruang untuk berkembang dan merasa dihargai, mereka akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan penuh keikhlasan.

Beliau berkata, falsafah “kalau mereka grow, bisnes akan grow” menjadi pegangan utama dalam menguruskan syarikat, sekali gus menjadikan pendekatan berteraskan kebajikan pekerja sebagai antara faktor terbesar yang mengukuhkan kedudukan Gula Cakery dalam industri makanan dan minuman yang kompetitif.

Komitmen itu jelas dizahirkan menerusi penganjuran majlis makan malam tahunan bertemakan hitam dan putih yang menghimpunkan ratusan kakitangan dari pelbagai cawangan baru-baru ini.

Majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk menghargai dedikasi, usaha dan pengorbanan pasukan sepanjang tahun.

Arieni menyifatkan majlis itu sebagai gambaran sebenar semangat Gula Cakery yang sentiasa positif, saling menyokong dan bersungguh-sungguh dalam setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

Pada majlis berkenaan, Gula Cakery turut mengiktiraf kesetiaan kakitangan yang telah berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun menerusi penyampaian Long Service Award, selain mengadakan cabutan bertuah dengan hadiah menarik seperti iPad, televisyen 65 inci dan pakej percutian, yang secara tidak langsung meningkatkan motivasi dan semangat berpasukan dalam kalangan pekerja.

Di sebalik kejayaan hari ini, perjalanan Gula Cakery bukanlah sesuatu yang mudah.

Bermula dari dapur rumah dengan hanya sebuah ketuhar serta berbekalkan resipi warisan arwah neneknya, Arieni berjaya membangunkan jenama yang kini menjadi pilihan ramai pencinta pencuci mulut.

Antara produk yang melonjakkan nama Gula Cakery tahun ini ialah Tiramisu, yang tular di media sosial dan menerima permintaan tinggi daripada pelanggan.

Menurut Arieni, resipi Tiramisu itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia adalah gabungan resipi keluarga dan teknik pembuatan yang dipelajarinya ketika berada di Itali.

Sambutan positif pelanggan terhadap produk itu disifatkan sebagai penghargaan terbesar terhadap usaha dan dedikasi pasukan Gula Cakery.

Dalam menghadapi cabaran industri F&B yang sentiasa berubah dan bergerak pantas, Gula Cakery terus mengekalkan kualiti produk dan perkhidmatan melalui penekanan terhadap latihan berterusan.

Bagi Arieni, latihan bukan sekadar pematuhan kepada prosedur operasi standard, sebaliknya bertujuan membangunkan potensi, keyakinan diri dan bakat pekerja.

Nilai seperti rasa hormat, tanggungjawab, layanan mesra serta keinginan untuk terus belajar dijadikan sebagai budaya kerja teras syarikat.

Selepas melalui tahun yang penuh cabaran, Gula Cakery kini bersedia memasuki fasa pertumbuhan yang lebih agresif dengan perancangan pembukaan cawangan baharu di Johor dan Bangi, selain perpindahan ke central kitchen yang lebih besar dan efisien bagi menyokong peningkatan permintaan.

Syarikat itu juga merancang penubuhan Training Academy Gula Cakery serta pengenalan program kesetiaan pelanggan bagi memperkukuh hubungan jangka panjang dengan komuniti pengguna.

Mengimbas kembali perjalanan perniagaan, Arieni mengakui pelbagai cabaran telah dilalui, termasuk isu tenaga kerja, kerja-kerja pengubahsuaian, peningkatan permintaan serta operasi harian yang tidak pernah terhenti.

Namun, apa yang paling menguatkan semangatnya adalah melihat perkembangan pekerja yang dahulu kurang yakin, kini mampu memegang jawatan kepimpinan dan memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Dengan semangat pasukan yang kukuh, budaya kerja yang positif serta perancangan masa depan yang tersusun, Gula Cakery bukan sahaja berkembang sebagai sebuah jenama tempatan yang berjaya, malah membina sebuah keluarga profesional yang bergerak seiring ke hadapan.

Bagi Arieni, menjaga kebajikan pekerja bukan sekadar tanggungjawab majikan, tetapi merupakan resipi sebenar yang membawa Gula Cakery ke tahap kejayaan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular