editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Haier Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila meraikan Haier Global Fans Festival Ke-7 menerusi sebuah jerayawara interaktif selama lima hari di Aras 3, The Piazza, Pavilion Bukit Jalil.
Ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam penyelesaian kehidupan pintar dan transformasi digital.
Festival yang berlangsung dari 17 hingga 21 Disember itu menampilkan ruang pameran interaktif seluas 2,600 meter persegi yang direka sebagai hab gaya hidup moden, menghimpunkan peminat sukan, penggemar bola sepak serta komuniti Haier dalam suasana penuh semangat berteraskan tema “Champion Your Haier Life”.
Inisiatif ini bukan sahaja meraikan sokongan pengguna setia, malah mencerminkan komitmen Haier dalam membina hubungan yang lebih bermakna dengan masyarakat.

Sepanjang festival, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sukan secara langsung termasuk badminton, bola sepak dan tenis, selain menikmati pelbagai ganjaran eksklusif yang ditawarkan khas oleh Haier.
Pendekatan interaktif ini memperlihatkan bagaimana teknologi dan gaya hidup aktif dapat disatukan secara harmoni dalam kehidupan seharian.
Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing, berkata penganjuran festival ini mencerminkan komitmen berterusan Haier untuk terus berinovasi serta mendengar keperluan pengguna tempatan.
Menurutnya, setiap produk dan pengalaman yang ditawarkan Haier dirangka bagi memberikan nilai sebenar kepada isi rumah di Malaysia.
Beliau berkata, sempena penganjuran Global Fans Festival ketujuh ini, Haier bukan sahaja menghargai kesetiaan pelanggan, malah terus memandang ke hadapan untuk membina kehidupan yang lebih pintar, memperkukuh hubungan dan berkembang bersama pengguna.
Majlis perasmian festival ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Kumpulan Haier, termasuk Naib Presiden dan Ketua Pegawai Jenama Kumpulan Haier, Wang Mei Yan, Pengarah Penjenamaan dan Pemasaran Luar Negara Haier, Wang Na, serta Ketua Bahagian Pemasaran Haier Malaysia, Eric Meng.

Sejak diperkenalkan, Haier Global Fans Festival telah berkembang daripada sebuah sambutan digital kepada satu gerakan jenama berskala antarabangsa yang menghubungkan jutaan peminat di seluruh dunia.
Evolusi ini mencerminkan kejayaan Haier dalam menonjolkan inovasi berterusan serta mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan pengguna global.
Sebagai peneraju industri peralatan rumah, Haier terus mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai jenama No.1 dunia dalam kategori Global Major Appliances Brand Retail Volume oleh Euromonitor International selama 16 tahun berturut-turut.
Haier juga adalah satu-satunya jenama ekosistem Internet of Things (IoT) yang tersenarai dalam Kantar BrandZ Top 100 Most Valuable Global Brands selama tujuh tahun serta berada dalam senarai World’s 500 Most Influential Brands selama 21 tahun.
Di Malaysia, Haier mencatat prestasi memberangsangkan dengan jangkaan pegangan pasaran sebanyak 11 peratus dan tahap kesedaran jenama mencecah 93 peratus, tertinggi dalam kalangan jenama peralatan rumah dari China.
Segmen produk premium pula menyumbang lebih 38 peratus kepada keseluruhan prestasi Haier di pasaran tempatan, mencerminkan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan inovasi yang ditawarkan.
Tumpuan utama festival ini adalah pameran inovasi terbaharu Haier yang menampilkan teknologi berprestasi tinggi dan reka bentuk moden, selari dengan semangat kecemerlangan atlet juara.

Pengguna di Malaysia turut menjadi antara yang terawal menyaksikan secara dekat produk inovatif seperti peti sejuk Space Fit, mesin basuh-pengering Siri L+, penyaman udara UV Cool Color, TV M80 QD-Mini LED serta pratonton mesin basuh tiga dram yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Selain pameran produk, festival ini turut menampilkan zon demonstrasi secara langsung, sesi perkongsian interaktif, aktiviti bersama pencipta kandungan serta ganjaran eksklusif untuk peminat, sekali gus memberikan pengalaman menyeluruh mengenai gaya hidup pintar Haier.
Kemasukan ke festival ini adalah percuma dan pelanggan yang berbelanja minimum RM5,000 bagi mana-mana dua produk Haier sepanjang tempoh jerayawara layak menebus jersi eksklusif Liverpool FC.
Orang ramai dijemput hadir untuk merasai sendiri pengalaman gaya hidup pintar yang direka untuk memenuhi keperluan masa hadapan, selari dengan visi Haier untuk memperkasa kehidupan moden melalui inovasi teknologi.

