editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Watak ikonik Papa Zola kini melangkah ke dimensi baharu apabila MONSTA dan Astro Shaw mengumumkan tayangan Papa Zola The Movie, filem pertama yang menampilkan hero “kebenaran” itu sebagai watak utama.
Filem animasi penuh aksi dan komedi itu menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 11 Disember 2025, hari ini sebelum ditayangkan di Singapura pada minggu yang sama.
Mengangkat kisah asal-usul Papa Zola yang belum pernah didedahkan dalam mana-mana siri terdahulu, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang segar, sarat dengan elemen humor yang sinonim dengan watak berkenaan.
Menariknya, jalan cerita Papa Zola The Movie dibangunkan agar mudah diikuti tanpa memerlukan penonton menonton siri asal BoBoiBoy, menjadikannya sesuai untuk tontonan seluruh keluarga serta penonton baharu.

Selepas tayangan perdana di Malaysia, Brunei dan Singapura, filem ini akan melebarkan tayangannya ke Indonesia mulai Januari 2026.
Langkah itu diikuti pula tayangan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.
Perjalanan antarabangsa itu dijangka mengukuhkan kedudukan Papa Zola The Movie sebagai salah satu filem animasi Malaysia yang berpotensi mencipta impak global.
Berlatarkan Kuala Lumpur, filem ini menampilkan evolusi dunia Papa Zola dengan gaya visual yang lebih matang, dinamik dan epik.
Sentuhan kreatif MONSTA jelas memperlihatkan peningkatan ketara dalam mutu animasi tempatan melalui penggunaan teknik animasi terkini, reka bentuk dunia berskala besar serta aksi yang lebih bertenaga.

Menurut Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, ini adalah buat pertama kali syarikat itu menampilkan watak dewasa sebagai teraju utama.
“Jalan cerita filem ini disulam dengan elemen kehidupan harian, aksi mendebarkan dan momen emosional.
“Ia sesuai ditonton oleh semua generasi. Dari segi teknikal, kami memperkenalkan teknik crowd, hair, simulasi letupan dan simulasi air bagi meningkatkan pengalaman visual di layar perak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif filem berkenaan, Raja Jastina Raja Arshad, berkata kerjasama erat bersama MONSTA selepas kejayaan BoBoiBoy Movie 2 dan Mechamato Movie membuka ruang besar untuk meneroka dunia animasi yang lebih luas.

“Kami mahu memperkukuhkan ekosistem animasi negara dan pada masa sama memastikan Papa Zola The Movie dapat dinikmati oleh semua lapisan penonton.
“Untuk meluaskan keterlibatan peminat, kami turut menganjurkan pelbagai kempen termasuk larian ‘Kebena-RUN 2025’.
“Setiap orang mempunyai versi Papa Zola dalam diri masing-masing dan kami mahu fenomena ‘Kebenaran’ dirasai semua,” katanya.
Filem ini mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras demi keluarga kecilnya.
Kehidupan normalnya berubah apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing, sekali gus memaksa Papa Zola bergandingan dengan Mama Zila untuk menyelamatkan Pipi dan menyelamatkan dunia daripada ancaman misteri.
Kisah ini turut menjelajah kembali sejarah Papa Zola bersama rakan lamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A. (Protect and Prevent Agency).

Dua lagu tema turut mewarnai perjalanan filem ini iaitu Demi Kebenaran nyanyian Insomniacks dan Kita Usahakan Lagi nyanyian Batas Senja, menambahkan sentuhan emosi serta nilai komersial pada naskhah berkenaan.
Sejak tiket pra-tayangan dibuka pada 22 November lalu, sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila kebanyakan tayangan awal habis dijual dalam masa singkat.
Permintaan tinggi itu mendorong Astro Shaw, MONSTA dan rangkaian pawagam membuka tayangan awal tambahan bermula 9 Disember bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyertai fenomena baharu ini.

Di luar pawagam, dunia Papa Zola diperluaskan melalui pelbagai barangan rasmi seperti Mask P.A.P.A., figura Papa Zola, buku kisah teladan serta koleksi kad permainan.
MONSTA turut bekerjasama dengan pawagam dan jenama terpilih di seluruh Malaysia untuk melancarkan edisi barangan eksklusif yang membawa sentuhan identiti Papa Zola kepada peminat setia.
Sebagai penghargaan kepada peminat, siri jelajah maskot Papa Zola The Movie akan diadakan di pawagam terpilih seluruh negara bermula 12 hingga 14 Disember di Lembah Klang, Selatan dan Pantai Timur; diikuti 19 hingga 21 Disember di Lembah Klang dan Utara; serta 26 hingga 28 Disember di Lembah Klang.

Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini melalui akaun media sosial Papa Pipi Zola dan Astro Shaw dengan tanda pagar rasmi #PapaZolaTheMovie.

