editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TV AlHijrah menutup lembaran tahun 2025 dengan deretan pencapaian signifikan yang memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran Islam unggul negara.
Mengangkat tema gaya hidup Islam secara kontemporari, stesen itu melakar kejayaan melalui penerbitan kandungan yang lebih matang, pelaksanaan program baharu pelbagai format serta peningkatan signifikan dalam capaian digital.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata perkembangan positif sepanjang tahun ini membuktikan bahawa kandungan Islamik berkualiti terus mendapat perhatian masyarakat Malaysia.
Menurutnya, usaha mempelbagaikan genre, pendekatan penyiaran dan gaya penyampaian dakwah telah memastikan mesej keagamaan disampaikan dengan lebih segar, relevan dan dekat dengan realiti hidup penonton masa kini.
Sebagai penghargaan kepada penonton setia, TV AlHijrah mempersembahkan lima program besar sebagai penutup tirai 2025, merangkumi hiburan, pengisian ilmu, gaya hidup dan telefilem istimewa.

Program kemuncak tahun ini ialah Konsert Malam Hijrah Bergema, yang buat pertama kalinya dianjurkan sebagai konsert ambang tahun baharu di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 31 Disember 2025, jam 9 malam.
Konsert berskala besar ini menghimpunkan artis nasyid tersohor seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi dan Sufian Suhaimi, selain menampilkan barisan Munsyid Muda dan tiga legenda muzik negara iaitu Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah serta Dato’ Nash.
Namanzee berkata, konsert ini adalah inisiatif istimewa digerakkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar sebagai tanda penghargaan kepada rakyat.
“Konsert ini bukan sekadar hiburan. Ia santapan jiwa yang mengangkat nilai refleksi, kesyukuran dan semangat hijrah ketika kita melangkah ke tahun baharu,” katanya.
Gandingan dua hos berpengalaman, Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad, turut dijangka memperkukuh mutu persembahan.

TV AlHijrah turut merakamkan penghargaan kepada IKIMfm sebagai rakan penyiar rasmi serta Munsyid Malaysia atas usaha kolaboratif menjayakan penganjuran konsert berimpak tinggi ini.
Sehari sebelum konsert, pada 30 Disember 2025, TV AlHijrah menganjurkan Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA di PICC.
Acara berskala besar yang mengumpulkan lebih 800 peserta ini memberi fokus kepada proses penyembuhan spiritual, muhasabah diri dan memperhalusi hubungan manusia dengan Allah SWT.
Penceramah tersohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin serta personaliti Heliza dan Hazwani Helmi akan tampil membimbing peserta sepanjang sesi pagi.

Pada sebelah petang, Bengkel Solat akan dikendalikan untuk membantu peserta memahami kesempurnaan solat sebagai kunci keluar daripada tekanan hidup.
Menurut Namanzee, konvensyen ini dan konsert yang berlangsung sehari selepasnya adalah hadiah eksklusif TV AlHijrah buat masyarakat sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus.
Bagi penonton di rumah, TV AlHijrah turut menyiarkan Anugerah Carta 114 Musim Ketiga secara langsung pada 27 Disember 2025, jam 9 malam.
Anugerah ini meraikan karya muzik Islamik terbaik sepanjang tahun, sekali gus memperkukuh industri seni berteraskan dakwah.
Lapan finalis akan bersaing dalam kategori vokal terbaik, persembahan terbaik dan Juara Carta 114.
Kali ini, sistem pemilihan diperkemas melalui pusingan separuh akhir yang dinilai panel juri profesional diketuai Farihin Abdul Fattah.
Bagi penonton aplikasi AlHijrah Plus (AH+), TV AlHijrah mempersembahkan Program Tenang Sekejap, bermula 15 Disember 2025.

Program santai ini mengetengahkan sisi peribadi asatizah dan pempengaruh Muslim melalui hobi dan minat mereka, bagi menunjukkan bahawa dakwah juga boleh disampaikan secara ringan dan menyentuh jiwa.
Antara personaliti yang tampil ialah Yousaf Iqbal, Fiekah Ishak, Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Adnin Roslan, Nadira Johari, Nabilah Aliah, Beto Khusyairi dan Ustazah Asni Mansor.
Sebagai pelengkap penutup tahun, lima telefilem khas Disember ditayangkan secara eksklusif di AH+, antaranya:
- Surat Dari Syurga (25 Disember)
- Menantu Datuk Nikah Kahwin (26 Disember)
- Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan (27 Disember)
- 30 Juzuk Terakhir (28 Disember)
- Tanda Kiriman Tuhan (29 Disember)
Telefilem ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Dato’ Seri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, PU Rozi, Syafie Naswip, Datuk Fauziah Nawi, Vanida Imran dan ramai lagi, membuktikan bahawa dakwah mampu diterjemahkan melalui visual berkualiti tinggi dan dekat dengan hati rakyat.
Namanzee berkata, menjelang 2026, TV AlHijrah bertekad memperluaskan capaian, memperkukuh kandungan digital dan mengembalikan momentum kolaborasi di lapangan. Antara inisiatif utama termasuk program pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi tumpuan umum serta penganjuran Karnival Hijrah 2026.
“Tahun hadapan, kami mahu AlHijrah menjadi sebuah gerakan masyarakat yang memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah dan menyantuni kehidupan melalui penyiaran yang membawa perubahan,” katanya.

