25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026

Malaysia perkukuh status hab pelancongan kesihatan global menerusi anugerah FMTH 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan kesihatan bertaraf dunia apabila Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) buat julung kalinya mengumumkan pemenang Program Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) 2025.

Pengiktirafan berprestij ini menandakan satu lagi detik penting dalam usaha negara memperkasa sektor pelancongan perubatan, sekali gus memacu daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global.

Majlis Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital 2025 dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandi Suppiah, serta Duta Jenama Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, FMTH adalah pemangkin utama dalam mengangkat reputasi Malaysia sebagai pusat rawatan bertaraf antarabangsa.

Katanya, sektor pelancongan perubatan kini menjadi antara penyumbang terbesar kepada ketahanan ekonomi jangka panjang negara.

“Melalui inisiatif FMTH, Malaysia telah berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan untuk rawatan perubatan, kesihatan dan pemulihan bertaraf dunia.

“Sektor ini bukan sahaja menarik pelabur antarabangsa malah menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyokong pertumbuhan pelbagai sektor lain seperti farmaseutikal, hospitaliti dan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Suriaghandi Suppiah turut menyifatkan FMTH sebagai langkah berani MHTC dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang diyakini dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Hari ini, kita meraikan satu pemenang utama serta empat hospital penerima pengiktirafan khas.

“Inisiatif ini bukan semata-mata menghargai kejayaan, tetapi juga memacu visi nasional ke arah ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Island Hospital, Pulau Pinang, diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital 2025, mengatasi tiga finalis lain iaitu Institut Jantung Negara (IJN), Mahkota Medical Centre Melaka dan Subang Jaya Medical Centre.

Hospital berkenaan diiktiraf atas kecemerlangan perubatan, keunggulan perkhidmatan dan kekuatan jenama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain itu, lima anugerah tambahan turut disampaikan sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan finalis.

Island Hospital membawa pulang dua kategori iaitu Kecemerlangan Pertumbuhan Hasil Pelancongan Kesihatan dan Inovasi Digital dalam Penyampaian Perkhidmatan Pesakit.

IJN mengungguli kategori Kecemerlangan Perubatan dan Teknologi Perubatan, manakala Mahkota Medical Centre menerima anugerah Peneraju Kerjasama Strategik Industri.

Manakala, Subang Jaya Medical Centre pula meraih pengiktirafan Kecemerlangan Keunggulan Jenama.

Program FMTH, yang dilaksanakan antara 2021 hingga 2025, adalah inisiatif transformasi nasional bertujuan meningkatkan daya saing sektor perubatan Malaysia di pentas dunia.

Sepanjang program berlangsung, hospital-hospital finalis menjalani audit berkala setiap enam bulan membabitkan kemajuan teknologi, keunggulan perkhidmatan, bimbingan strategik serta penilaian oleh badan antarabangsa seperti Joint Commission International (JCI) dan IQVIA Consulting Group APAC.

Kesemua finalis menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan keupayaan, peningkatan infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan berpusatkan pesakit.

Sebagai pemenang FMTH, Island Hospital akan berperanan sebagai hospital duta Malaysia di pentas antarabangsa, sekali gus memperkukuh imej negara sebagai destinasi rawatan premium dan holistik.

Pengiktirafan ini turut menegaskan peranan strategik JCI dalam menjamin standard keselamatan pesakit, tadbir urus klinikal dan kecemerlangan operasi.

Pada masa sama, FMTH menjadi asas persediaan awal negara menuju Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT 2026).

Dalam pada itu, Suriaghandi berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan strategik untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

“Malaysia bersedia memperkenalkan pakej penjagaan kesihatan holistik yang bukan sahaja merangkumi rawatan perubatan tetapi juga kesejahteraan dan rawatan Perubatan Tradisional & Komplementari (PT&K), memberikan pengalaman perjalanan perubatan yang lengkap,” katanya.

Beliau turut menambah, pengalaman pesakit akan terus dipertingkat melalui penyelarasan praketibaan, perkhidmatan concierge, hospitaliti mesra pemulihan dan tawaran pelancongan khusus yang direka untuk memberi pengalaman rawatan yang lebih selesa dan meyakinkan.

Industri pelancongan kesihatan Malaysia menunjukkan momentum positif apabila negara menerima 1.6 juta pelancong kesihatan pada tahun 2024, dengan hasil mencecah RM2.72 bilion.

Prestasi ini bukan sahaja menandakan pemulihan kukuh pascapandemik, tetapi juga mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai hab perubatan yang dipercayai, berkualiti tinggi dan mampu milik di rantau Asia Tenggara, Timur Tengah, Asia Selatan, Eropah dan Amerika Syarikat.

Dengan pencapaian ini, Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk melangkah ke tahun 2026 sebagai destinasi pilihan global, sejajar dengan sasaran untuk terus memajukan industri pelancongan kesihatan dan menarik gelombang baharu pesakit antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular