27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 15, 2025

Bekas anggota polis tuntut keadilan selepas 15 tahun tuntutan insurans ditolak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota polis, tampil meluahkan rasa kecewa dan teraniaya selepas lebih 15 tahun berusaha menuntut pampasan insurans berkaitan penyakit buah pinggang kronik yang dihadapinya sejak tahun 2008.

Annathurai a/l Marimuthu mendakwa telah disahkan mengalami kerosakan buah pinggang kekal (Total Permanent Disability – TPD), namun syarikat insurans yang terbabit enggan meluluskan tuntutan dengan alasan beliau “tidak memenuhi kriteria”.

Luahan yang dibuat menggambarkan betapa sukarnya proses birokrasi yang dilalui rakyat biasa ketika berurusan dengan syarikat insurans, walaupun memiliki dokumen dan pengesahan perubatan yang lengkap.

“Saya minta bantuan untuk selesaikan hutang rumah. Tapi mereka beri macam-macam alasan,” katanya yang telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang (transplant).

Menurutnya, pihak insurans mendakwa dengan menjalani transplant, dia dianggap “sihat” dan tidak lagi layak untuk tuntutan.

Tegasnya, Total Permanent Disability (TPD) bukan diukur berdasarkan keupayaan fizikal semata-mata, tetapi berdasarkan kegagalan fungsi organ secara kekal.

“Apabila buah pinggang tidak lagi berfungsi dan rosak sepenuhnya, itu sudah termasuk dalam definisi TPD,” katanya.

Menurutnya, dua orang doktor pakar termasuk seorang dari Hospital KPJ telah mengesahkan sejak tahun 2008 bahawa beliau memenuhi semua kriteria TPD, termasuk keperluan menjalani terapi penggantian buah pinggang seumur hidup.

Namun tuntutannya kepada syarikat insurans berkenaan berterusan ditolak atas alasan teknikal.

Dia juga mendedahkan telah membuat laporan polis, menghantar aduan kepada Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, serta pelbagai pihak berkaitan dalam usaha memperjuangkan haknya.

Selepas campur tangan Bank Negara Malaysia, barulah syarikat insurans berkenaan meluluskan sebahagian tuntutan pada tahun 2023, iaitu lebih 15 tahun selepas diagnosis awal.

“Bank Negara hantar surat, barulah insurans keluarkan duit. Kalau tidak, sampai sekarang saya masih menderita,” katanya.

Annathurai berkata, sebagai seorang bekas anggota keselamatan, dia berasa amat malu dan terhina apabila terpaksa merayu dan datang dari jauh untuk mendapatkan keadilan.

“Saya tahu undang-undang, saya tahu definisi TPD. Tapi bila pegawai syarikat insurans lebih tinggi daripada pengesahan doktor pakar, itu yang buat saya tak puas hati,” katanya.

Dia turut menunjukkan surat pengesahan perubatan yang secara jelas menyatakan dia memenuhi kriteria penyakit kritikal dan kerosakan buah pinggang tidak boleh pulih (irreversible kidney damage), namun dakwanya surat itu diabaikan oleh pihak insurans.

Sementara itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) yang diwakili oleh Dato’ Dr Kalaivanar berkata, pihaknya menuntut ketelusan dalam menguruskan insurans dikalangan pengguna.

“Kes ini sekali lagi membuka persoalan besar berhubung ketelusan dan tanggungjawab syarikat insurans dalam melayani tuntutan sah daripada rakyat biasa.

“Ia juga menimbulkan persoalan tentang keperluan penambahbaikan undang-undang dan mekanisme pemantauan terhadap industri insurans, agar keadilan dapat ditegakkan tanpa rakyat perlu menunggu bertahun-tahun untuk hak yang sepatutnya mudah ditunaikan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular