28.2 C
Kuala Lumpur
Monday, October 13, 2025

Jejak seni budaya Malaysia Madani 2025 gegar Melaka: Dataran Keris Alor Gajah jadi tumpuan rakyat dan pelancong

editormaxinfo@gmail.com

MELAKA – Dataran Keris, Alor Gajah bakal menjadi pusat tumpuan masyarakat dan pelancong dari seluruh negara apabila program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2025 membuka tirainya dari 15 hingga 19 Oktober 2025.

Program ini dijangka menyemarakkan landskap seni dan budaya negara dengan pelbagai aktiviti menarik yang mengangkat warisan tempatan sebagai asas perpaduan dan identiti bangsa.

Acara berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia (PABWAM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik.

Penganjurannya kali ini tampil lebih besar dan meriah selepas kejayaan luar biasa edisi sulung di Kuala Lumpur pada tahun lalu yang menarik ribuan pengunjung, termasuk pelancong antarabangsa dan penggiat seni dari dalam serta luar negara.

Salah satu tarikan utama dalam program kali ini ialah penganjuran “Jom Ngap Festival”, sebuah festival makanan yang menghimpunkan keunikan hidangan tradisional dan moden dari seluruh Malaysia.

Inisiatif ini bukan sahaja menjadi peluang keemasan kepada pengusaha makanan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka, malah turut menyajikan pengalaman gastronomi yang kaya kepada pengunjung.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut dirancang seperti persembahan kebudayaan, pameran warisan, demonstrasi kraftangan, pertandingan seni rakyat dan jualan produk tempatan yang dijangka menghidupkan suasana karnival penuh warna-warni sepanjang lima hari berlangsung.

Kemuncak acara akan berlangsung pada 17 Oktober 2025 (Jumaat), apabila program ini bakal dirasmikan oleh Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.

Perasmian ini menjadi simbol sokongan terhadap usaha berterusan dalam memperkasakan jati diri bangsa melalui kesenian dan budaya, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Timbalan Presiden PABWAM, Nor Zaily Hasjadi berkata, penganjuran Jejak Seni Budaya Malaysia Madani bukan sekadar sebuah acara seni biasa, sebaliknya satu platform strategik untuk memperkukuh ekosistem seni tempatan dan industri pelancongan negara.

Beliau berkata, pihaknya yakin penganjuran di Melaka kali ini akan memberi impak positif kepada ekonomi setempat, khususnya kepada peniaga kecil, pengusaha makanan dan penggiat seni.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan, sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Melaka, yang kaya dengan nilai sejarah dan budaya, dipilih sebagai destinasi pelancaran penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab seni dan budaya serantau.

Orang ramai dari seluruh pelosok negara dijemput hadir beramai-ramai ke Dataran Keris, Alor Gajah bagi merasai sendiri keindahan warisan budaya Malaysia yang unik, menyokong hasil karya anak tempatan dan bersama-sama mengangkat seni sebagai wahana penyatuan masyarakat Malaysia Madani.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular