25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

FWD, Innoquest bawa teknologi diagnostik terkini ke Malaysia untuk kesihatan lebih proaktif

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasakan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia, FWD Takaful Berhad dan FWD Insurance Berhad (secara kolektif dikenali sebagai FWD Malaysia) menjalinkan kerjasama strategik dengan penyedia diagnostik bebas terkemuka, Innoquest Pathology Malaysia.

Inisiatif ini menandakan langkah penting dalam memperluaskan akses kepada pemeriksaan kesihatan pencegahan dan diagnostik awal bagi menyokong penjagaan kesihatan yang lebih proaktif dan menyeluruh.

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada program FWD HealthyMe, yang menggabungkan perlindungan, akses klinikal dan diagnostik dalam satu ekosistem penjagaan kesihatan yang bersepadu.

Matlamat utamanya adalah untuk mengalihkan paradigma penjagaan kesihatan daripada rawatan reaktif kepada pendekatan pencegahan yang proaktif sejajar dengan keperluan kesihatan semasa rakyat Malaysia.

Walaupun tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan saringan kesihatan semakin meningkat, jurang dalam pelaksanaan pemeriksaan awal masih membimbangkan.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, sebanyak dua daripada lima rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tidak menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan sepanjang tahun lalu.

Meskipun 85 peratus individu berumur antara 40 hingga 60 tahun pernah menjalani pemeriksaan, hanya 66 peratus daripada mereka melakukannya secara konsisten setiap tahun.

Statistik ini menunjukkan masih wujud keperluan mendesak untuk mengukuhkan budaya penjagaan pencegahan di negara ini.

Sebagai langkah responsif terhadap cabaran ini, FWD Malaysia tampil bukan sekadar sebagai penyedia perlindungan kewangan, tetapi juga sebagai rakan kesihatan yang proaktif.

Melalui kerjasama ini, FWD memberi akses kepada pelanggan untuk menjalani saringan kesihatan berkualiti tinggi secara lebih mudah dan mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful Berhad Aman Chowla berkata, inisiatif ini selaras dengan matlamat syarikat untuk menjadikan takaful lebih relevan, diperibadikan dan menyokong gaya hidup pelanggan di setiap peringkat kehidupan mereka.

“Dengan mengintegrasikan pemeriksaan kesihatan ke dalam penawaran kami, kami memperkasakan rakyat Malaysia untuk lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka.

“Ini adalah langkah penting dalam mengubah persepsi terhadap takaful daripada hanya perlindungan kepada sokongan kesihatan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance Berhad Mak See Sen berkata, FWD  begitu komited untuk menyediakan penyelesaian insurans yang praktikal dan mudah dicapai dalam kehidupan seharian pelanggan.

Sebagai penyedia diagnostik utama, Innoquest Pathology Malaysia memainkan peranan penting dalam menawarkan ujian kesihatan ketepatan tinggi serta teknologi diagnostik terkini.

Pendekatan ini membolehkan risiko kesihatan dikenal pasti lebih awal sebelum gejala serius muncul dan sekali gus membuka ruang kepada intervensi awal yang boleh menyelamatkan nyawa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Innoquest Pathology Adam Hathsey Bronson berkata, pengesanan awal mampu memberi impak besar bukan sahaja kepada individu, malah kepada keluarga, majikan dan keseluruhan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Melalui diagnostik lanjutan, kita boleh mengesan risiko penyakit bertahun-tahun lebih awal.

“Ini memberi peluang kepada tindakan pencegahan yang lebih tepat dan berkesan,” katanya.

Naib Pengerusi Kumpulan Pathology Asia Dr Chris Ting pula berkata, teknologi inovatif dan rangkaian serantau Innoquest mampu membawa impak positif secara langsung kepada pesakit dan komuniti di seluruh Asia.

Sebagai permulaan kepada kerjasama ini, kedua-dua pihak melancarkan HealthIQ satu ujian saringan kesihatan pencegahan yang dibangunkan oleh Nightingale Health dan disediakan oleh Innoquest.

Ujian ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan mampu mengesan tanda awal risiko penyakit utama seperti serangan jantung, strok dan diabetes jenis 2.

Melalui program akses awal, pelanggan FWD akan menjadi kumpulan pertama yang dapat menikmati ujian ini pada kadar pengenalan istimewa.

Selain memberi skor risiko kesihatan yang diperibadikan, HealthIQ turut membantu pelanggan membuat keputusan kesihatan secara proaktif.

Pelancaran HealthIQ mengukuhkan lagi komitmen FWD terhadap inovasi bermakna dan peranannya sebagai rakan kesihatan seumur hidup kepada rakyat Malaysia.

Kerjasama antara FWD dan Innoquest ini mencerminkan visi bersama untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih sihat melalui penjagaan kesihatan pencegahan yang lebih mudah dicapai, diperibadikan dan berimpak tinggi.

Selain memperkenalkan perkhidmatan kesihatan inovatif, inisiatif ini juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan pengesanan awal melalui kandungan pendidikan yang interaktif dan mudah difahami.

Ia secara langsung menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah bijak dalam menguruskan kesihatan mereka secara holistik.

Dengan menyatukan kepakaran dalam perlindungan takaful, insurans dan diagnostik kesihatan, FWD dan Innoquest bersedia memainkan peranan penting dalam memacu transformasi sistem penjagaan kesihatan Malaysia ke arah masa depan yang lebih sihat dan lebih berdaya tahan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular