27.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 23, 2025

Konsert Elite Live ’25, imbau kenangan awal kemunculan Elite

editormaxinfo@gmail.com

Foto Icon Entertainment

KUALA LUMPUR – Tampil menghidupkan semula pentas muzik tempatan menerusi konsert istimewa mereka, Elite Live ’25, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi kepada malam penuh kenangan apabila kumpulan wanita  Elite beraksi dipentas.

Disokong oleh penganjur Icon Entertainment, konsert ini bukan sekadar hiburan ia adalah perayaan terhadap bakat, perjuangan dan dedikasi sekumpulan artis wanita yang pernah menggegarkan industri muzik Malaysia sejak era kegemilangan KRU.

Membuka tirai dengan rangkaian tiga lagu yang menyentuh hati, suasana bertukar hening seolah-olah setiap bait lirik dan melodi membawa penonton kembali ke zaman kemuncak Elite.

Sorakan peminat, khususnya kepada penyanyi Abby, membuktikan bahawa kumpulan ini masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati peminat muzik tanah air.

Konsert ini tidak hadir tanpa cabaran. Selama hampir tiga bulan, anggota Elite bertungkus-lumus menjalani latihan intensif demi memastikan persembahan yang diberikan bukan sekadar memenuhi jangkaan, malah melebihi harapan.

Mereka sanggup mengorbankan masa rehat dan tidur demi mencipta momen yang benar-benar berkesan buat peminat yang telah setia menyokong sejak awal.

Sebagai kumpulan pertama yang dilahirkan di bawah label tersohor KRU Records, Elite telah melalui pembentukan artistik dan vokal secara sistematik sejak awal kemunculan.

Walaupun tidak semua pengasas KRU dapat hadir dengan Yusry terbabit dalam penggambaran dan Edry berada di Manchester, kehadiran Datuk Norman Abdul Halim memberikan sokongan moral yang besar dan memperlihatkan nilai kekeluargaan yang masih kukuh antara mereka.

Konsert dibahagikan kepada tiga segmen utama yang mempersembahkan rangkaian lagu seperti Ladiva, Merbahaya, Mengerti, Aku Siapa Kau Siapa dan Sesuatu Dalam Dirimu.

Segmen kedua memberi ruang kepada kolaborasi dinamik bersama kumpulan Alpha, termasuk duet menyentuh jiwa menerusi lagu Di Pintu Syurga, diikuti persembahan solo Alpha seperti Monalisa dan penghormatan istimewa kepada seniman legenda tanah air menerusi medley P. Ramlee & Saloma.

Kemuncak malam hadir dalam segmen ketiga yang membangkitkan semangat nostalgia, menampilkan medley rancak seperti Catwalk, Dirinya Dirimu Diriku dan Susah Jadi Senang.

Gabungan mantap Elite bersama kumpulan X Factor menerusi lagu Bertuah dan 7251364 menambah variasi serta tenaga kepada konsert ini.

Lagu-lagu penutup seperti Alhamdulillah, Trauma, GIG dan dua encore istimewa Tamparan Wanita dan Manisnya Senyuman Mu disampaikan penuh emosi dan semangat daripada Elite serta ribuan penonton yang hadir.

Di sebalik tirai persembahan, nama-nama besar turut menjayakan konsert ini dari belakang tabir. Johan John sebagai pengarah muzik mengetuai pasukan pemuzik hebat yang terdiri daripada Eddie Slam (keyboard), Reezal & Wan Gigi (gitar), Anep (bass), Daniel Saha (dram) serta Fareez sebagai programmer.

Vokal sokongan pula dikuatkan oleh Yuaz dan Eja, menjadikan keseluruhan produksi malam itu tampil padu, profesional dan menyentuh emosi.

Konsert Elite Live ’25 bukan sekadar pengembalian semula ke pentas ia adalah simbol kebangkitan semangat dan pengukuhan legasi kumpulan wanita yang pernah menjadi ikon generasi terdahulu.

Di tengah-tengah perubahan industri muzik, Elite membuktikan bahawa dengan kerja keras, keikhlasan dan cinta kepada seni, sebuah kumpulan lama masih mampu memberi impak besar dan terus mengukir kenangan baharu dalam sejarah muzik Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular