31.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 7, 2026

Khadam: filem seram Malaysia-Indonesia papar keibuan, warisan dan saka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah filem seram baharu yang menjanjikan pengalaman sinematik penuh ketegangan bakal menggamit pawagam tanah air dan rantau ini.

Diberi judul Khadam, karya ini adalah kolaborasi strategik antara dua syarikat produksi terkemuka Malaysia, Red Communications dan Komet Productions, yang berganding bahu untuk mempersembahkan sebuah naskhah berlatarkan Malaysia era 1950-an.

Khadam menampilkan barisan pelakon utama bertaraf bintang aktor prolifik Datuk Remy Ishak, pelakon muda berbakat besar Siti Khadijah Halim, serta pelakon tersohor Indonesia, Aghniny Haque, yang dikenali ramai menerusi filem seram popular seperti KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah.

Dengan reputasi sebagai “Ratu Seram Indonesia”, kemunculan Aghniny dalam Khadam dijangka menjadi tarikan utama di peringkat serantau.

Filem ini menandakan langkah berani Red Communications dalam menerokai genre seram selepas kejayaan mereka dalam naskhah ikonik seperti Istanbul Aku Datang, Kami The Movie, dan Songlap.

Manakala Komet Productions pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penerbit kandungan serantau yang dipercayai, dengan pengalaman sebagai penerbit eksekutif untuk projek besar seperti Ejen Ali The Movie 2, Blood Brothers Bara Naga dan Siksa Kubur.

Mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), projek ini turut menarik perhatian pelabur antarabangsa seperti Sil Metropole dari Hong Kong dan Applause Entertainment dari India satu petanda jelas terhadap minat global terhadap filem Asia Tenggara yang mengangkat unsur budaya tempatan.

Khadam diarahkan oleh Shamyl Othman, yang sebelum ini mengarahkan filem seram pecah panggung Rahsia, dan ditulis oleh Fariza Azlina Isahak, penulis skrip disegani yang terkenal dengan karya-karya pemenang anugerah seperti Songlap dan Kami The Movie.

Gabungan ini dijangka menghasilkan sebuah naskhah yang bukan sahaja menyeramkan, tetapi turut menyentuh sisi emosi dan kemanusiaan.

Kisah filem ini berkisar tentang Melor, seorang wanita yang selepas kematian ibunya, terpaksa mewarisi saka keluarga suatu pusaka ghaib yang penuh dengan misteri dan kekuatan gelap.

Dalam usahanya untuk membebaskan diri, Melor mendapati dirinya terperangkap dalam pertarungan antara warisan lama dan masa depan anak perempuannya yang kini berisiko mewarisi entiti terbabit.

Pertarungan ini bukan sahaja fizikal, malah batin, kerana Melor berdepan dilema antara naluri keibuan dan takdir turun-temurun yang menghantui keluarganya.

Namun, Khadam bukan sekadar kisah hantu atau seram semata-mata. Ia mengangkat tema berat seperti pengorbanan seorang ibu, tekanan sosial terhadap wanita, serta warisan budaya yang sering menjadi beban generasi baharu.

Ia menyentuh persoalan besar sejauh mana seorang ibu sanggup berjuang untuk melindungi anaknya walaupun daripada ‘darah daging’ sendiri.

Turut membintangi filem ini ialah pelakon berpengalaman Jun Lojong serta dua pelakon kanak-kanak berbakat, adik-beradik Zarra Zhaff dan Karl’El.

Dengan penggambaran dijadualkan bermula pertengahan September 2025, Khadam dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara serta beberapa pasaran serantau pada tahun 2026.

Projek ini tidak hanya memperlihatkan kerjasama rentas produksi, tetapi juga menjadi contoh bagaimana industri kreatif tempatan mampu menghasilkan karya berimpak tinggi dengan nilai komersial dan kebudayaan yang seimbang.

Penampilan pelakon Indonesia dalam sebuah produksi Malaysia juga membuka peluang perluasan pasaran ke negara jiran serta pengukuhan hubungan sinematik antara dua negara.

Dengan gabungan kekuatan cerita, barisan pelakon ternama dan elemen seram yang bersandarkan warisan budaya tempatan, Khadam dijangka mencipta fenomena baharu dalam sinema seram Asia Tenggara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular