25.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 2, 2025

Sokong kepimpinan aktif PMX, elak kerugian besar kepada negara –  Salim Abdul Rahman

editormaxinfo@gmail.com

SUNGAI BULOH – Barisan Menteri Kabinet diseru tampil lebih proaktif dan memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui pentadbiran negara.

Aktivis sosial merangkap Presiden Yayasan Global Mesra, Dato Seri Salim Abdul Rahman berkata, komitmen serta keaktifan Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju negara perlu disambut dan didukung sepenuhnya oleh anggota pentadbiran yang lain.

“Kalau hanya Datuk Seri Anwar bergerak laju tetapi menteri-menteri lain tidak mengikut rentak yang sama, ini adalah satu kerugian besar kepada negara.

“Kepimpinan beliau harus disambut dengan semangat dan tindakan yang seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Podcast sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bertemakan pemerintahan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), baru-baru ini.

Salim  berkata, sepanjang tempoh pemerintahan Anwar Ibrahim, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk kepada golongan muda. Beliau turut menyifatkan ramai anak muda kini melihat Perdana Menteri sebagai sumber inspirasi yang membawa harapan baharu kepada negara.

“Semua rakyat Malaysia telah diberikan peluang yang adil. Apakah kita tidak dapat melihat masa depan yang lebih cerah di bawah pentadbiran beliau?

“Sudah tentu Anwar akan terus menjaga kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Katanya lagi, dengan tempoh dua tahun lagi yang masih berbaki dalam penggal pemerintahan ini, keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri perlu terus diperkukuhkan, terutamanya dalam memastikan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh.

“Saya yakin anak-anak muda akan terus menyokong dan saya sendiri mengharapkan agar Anwar terus diberi ruang dan peluang yang lebih luas untuk membantu rakyat,” katanya.

Mengulas dakwaan serta tuduhan liar berkaitan rasuah yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri, Salim menyifatkan ia sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak berasas.

“Untuk apa Datuk Seri mahu ambil rasuah? Kalau benar ada dakwaan, biarlah SPRM dan PDRM buat siasatan.

“Tiada masalah. Saya yakin beliau telus. Malah, kalau saya letakkan diri saya sebagai Anwar, apa yang hendak dibanggakan dengan rasuah sedangkan pendapatan sedia ada pun sudah cukup besar,” katanya.

Salim berkata, fitnah dan tohmahan sedemikian hanya akan melemahkan semangat rakyat serta mengganggu fokus kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi dan membina semula negara pasca pandemik.

Katanya, sokongan padu kepada Anwar bukan sahaja menjadi tanggungjawab Kabinet, tetapi juga rakyat keseluruhannya dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara terus terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular