editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Ceramah perdana sempena Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah berlangsung penuh pengisian yang menampilkan tokoh ilmuwan terkenal, Prof. Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai penceramah jemputan.
Dalam ceramahnya, beliau berkongsi, makanan sunnah Nabi Muhammad SAW bukanlah bertujuan untuk menggantikan rawatan moden atau bertindak sebagai ubat penyembuh, sebaliknya amalan pemakanan sihat yang menyumbang kepada penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
“Makanan adalah makanan, ubat adalah ubat. Kedua-duanya tidak boleh disamakan dari sudut syarak mahupun perubatan.
“Dalam hukum Islam, hanya dalam keadaan darurat dan tiada pilihan lain sahaja penggunaan bahan haram sebagai ubat dibenarkan.
“Tetapi makanan halal dan amalan pemakanan Nabi tetap kekal sebagai makanan yang menyihatkan, bukan pengganti rawatan,” katanya.
Dr. Mohd Izhar turut berkongsi Rasulullah SAW mengamalkan pemakanan yang sederhana dan seimbang.
Baginda makan hanya ketika lapar dan akan berhenti sebelum kenyang. Prinsip ini selari dengan pandangan Imam Al-Ghazali yang menyarankan agar perut diisi dengan satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga udara satu kaedah yang dilihat amat sesuai untuk penjagaan kesihatan moden.

Antara aspek pemakanan Rasulullah SAW yang boleh dijadikan panduan ialah mengurangkan makanan bergoreng.
Menurut beliau, kaedah memasak pada zaman Nabi lebih banyak menggunakan teknik membakar dan merebus, berbanding menggoreng.
“Zaman Nabi tiada makanan bergoreng. Kaedah masakan lebih kepada bakar dan rebus seperti sup. Ini jauh lebih sihat dan sesuai dengan saranan pakar pemakanan hari ini,” katanya.
Baginda SAW juga mengambil banyak buah-buahan dalam diet harian, yang bukan sahaja memberi tenaga, tetapi turut membekalkan serat dan nutrien penting kepada tubuh.
Ceramah itu turut menyentuh dapatan kajian saintifik terkini yang menunjukkan bahawa setiap warna dalam sayur-sayuran dan buah-buahan membawa manfaat kesihatan tersendiri.
Beliau berkata, pakar pemakanan sering menyarankan agar individu memperbanyakkan makanan berwarna-warni dalam diet seharian kerana setiap warna mengandungi kandungan fitokimia yang berbeza dan memberi kesan positif kepada tubuh.
“Merah, hijau, ungu semuanya ada fungsi dan manfaat tersendiri. Bahkan pakar diet akan menasihati pengambilan tertentu berdasarkan keperluan tubuh seseorang,” katanya.

Mengulas mengenai adab makan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, Dr. Mohd Izhar menekankan Baginda tidak pernah mencela makanan yang dihidangkan kepada Baginda, walaupun rasanya mungkin tidak menyenangkan.
“Makanan adalah rezeki daripada Allah SWT. Menjaga adab ketika makan dan tidak membazir adalah antara ajaran penting yang perlu kita contohi daripada Nabi,” katanya.
Beliau turut menyentuh kisah menyayat hati yang berlaku di Gaza dan Syria, di mana penduduk yang terdesak akibat peperangan terpaksa memakan apa sahaja yang boleh dimakan termasuk haiwan peliharaan dan sisa makanan semata-mata untuk terus hidup.
“Mereka makan kerana darurat. Tetapi apabila lapar hilang, mereka berhenti. Ini menunjukkan betapa kita perlu bersyukur dengan setiap rezeki yang kita miliki dan tidak membazir,” katanya lagi.

Dalam sesi ceramah itu juga, Dr. Mohd Izhar mengingatkan peniaga makanan agar mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kualiti makanan yang dijual.
Katanya, sekiranya makanan disediakan secara sambil lewa tanpa amanah, bukan sahaja pelanggan yang terkesan, malah rezeki yang diperoleh juga boleh hilang keberkatan.
“Di dunia mungkin kita tak nampak kesannya. Tapi di akhirat, kita akan dipertanggungjawabkan. Masaklah dengan ikhlas, amanah dan niat memberi yang terbaik kepada pelanggan,” pesannya.
Sebagai penutup, beliau menyeru semua pihak untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam semua aspek kehidupan, termasuklah dalam soal pemakanan.
“Jalan paling mudah dan paling selamat dalam hidup ini adalah dengan mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi. Di situlah ada keberkatan, kesihatan dan kebahagiaan,” katanya mengakhiri ceramah.

