editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani terus melangkah teguh dalam memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui Program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) – MITRA, yang secara rasmi diraikan dalam satu Majlis Apresiasi dan Pelepasan Peserta di ibu negara, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET).
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, hala tuju kerajaan amat jelas menjadikan TVET sebagai game changer nasional dalam melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang berdaya saing.
“Apabila kita menghantar anak muda ke luar negara, kita tidak sekadar menghantar mereka untuk belajar kemahiran teknikal.
“Kita sedang membentuk duta belia negara yang akan kembali dengan jati diri, keyakinan global dan daya saing luar biasa,” katanya.

Program MCYTT adalah hasil daripada lawatan rasmi beliau ke China sebelum ini, yang berjaya membuka peluang besar kepada belia Malaysia untuk menimba ilmu dan latihan industri di lebih 18 institusi TVET terkemuka di negara itu.
Hasil rundingan itu menyaksikan Malaysia memperoleh 5,125 kuota latihan, dengan 500 tempat dikhususkan kepada belia kaum India.
Kerajaan Madani, melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), turut menyediakan peruntukan khas sebanyak RM3 juta bagi menampung kos logistik, pengangkutan dan elaun sara diri peserta.
Kos latihan dan penginapan sepanjang berada di China pula ditanggung sepenuhnya oleh rakan institusi dan industri dari negara itu.

Sehingga kini, seramai 175 peserta telah berjaya menamatkan latihan jangka pendek di China, merangkumi bidang-bidang seperti mechatronic, pemasaran internet, automotif kenderaan elektrik, automasi industri dan logistik.
Seramai 147 peserta lagi akan berangkat sepanjang bulan September, manakala 178 peserta dijadualkan menyusul pada Oktober dan November tahun ini.
Bidang latihan merangkumi teknologi masa depan seperti artificial intelligence, keselamatan siber, teknologi elektrik, kimpalan, pemprosesan makanan dan semikonduktor semuanya seiring dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan persediaan ke arah Industri 5.0.
Mengulas lanjut mengenai landskap semasa TVET, Ahmad Zahid turut mengangkat empat cabaran utama yang masih perlu diberi perhatian iaitu kekurangan kemudahan moden, isu mobiliti antarabangsa, keperluan pengemaskinian kurikulum, serta persepsi masyarakat terhadap bidang TVET yang masih dianggap sebagai pilihan kedua.

“TVET bukan jalan terakhir. Ia adalah laluan pantas menuju masa depan.
“Kita mahu jadikan TVET sebagai budaya masyarakat yang menghormati kemahiran, mengiktiraf kerja teknikal dan memartabatkan pekerja mahir setaraf profesional,” katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi kisah kejayaan membanggakan, antaranya 14 belia TVET lepasan SKM Tahap 3 tanpa SPM yang kini berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dalam bidang Teknologi Automotif di Tangshan University, China.
Selain itu, 200 peserta kini sedang mengikuti kelas Bahasa Mandarin sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dalam perkembangan yang cukup menggembirakan, Ahmad Zahid turut mengumumkan dua universiti terkemuka di China telah menawarkan biasiswa penuh kepada peserta MCYTT yang berkelayakan untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah.
Antaranya Taizhou Vocational College of Science & Technology (25 kuota dalam bidang Teknologi Logistik) dan Tangshan Polytechnic University (20 kuota dalam Teknologi Automasi Elektrik dan 20 lagi dalam Pemeriksaan & Penyelenggaraan Automotif).
Pelajar perlu menduduki ujian penguasaan bahasa Mandarin, HSK Tahap 3 sebagai syarat utama untuk melayakkan diri.
Menurutnya, tawaran ini, membuktikan kepercayaan institusi pendidikan China terhadap kompetensi belia Malaysia yang dihantar di bawah program ini.
Ia juga mengukuhkan lagi peranan TVET sebagai jambatan strategik dalam hubungan Malaysia – China, yang telah terjalin sejak lebih lima dekad lalu.

Dalam usaha jangka panjang, Malaysia-China Institute (MCI) bakal memberi tumpuan kepada dua agenda utama bermula 2026 iaitu pensijilan dwi (dual certification) yang mengantarabangsakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), serta pensijilan profesional bertaraf antarabangsa daripada industri dan universiti di China.
Langkah ini sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab TVET ASEAN menjelang 2030.
Mengakhiri ucapannya, Ahmad Zahid menyeru agar semua peserta memanfaatkan peluang ini sebaiknya, menimba ilmu dan membina rangkaian di peringkat antarabangsa, serta kembali ke tanah air sebagai ejen perubahan.

“Setiap langkah anda di bumi asing adalah langkah perjuangan untuk kemakmuran negara.
“Jadikan pengalaman ini sebagai titik perubahan dalam hidup, dan pulanglah nanti sebagai pemimpin masa depan Malaysia yang lebih inklusif, makmur dan berdaya saing,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata, pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan dan menyifatkan MCYTT sebagai satu inisiatif strategik yang mampu memperkukuh bakat muda tempatan, selaras dengan keperluan industri dan teknologi masa kini.