29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

CIMB perkukuh komitmen sosial melalui lagu “Bangun, Kita Bagi Jadi” sempena sambutan Kemerdekaan ke-68

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja berfungsi dalam sektor kewangan tetapi juga sebagai pemangkin perubahan sosial, CIMB Bank Berhad (CIMB) tampil dengan inisiatif terbaharu melalui gerakan sosial “Kita Bagi Jadi”, selari dengan matlamat korporatnya iaitu Memperkasakan Pelanggan dan Masyarakat (Advancing Customers and Society).

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68, CIMB mempersembahkan satu projek istimewa berupa muzik video berjudul “Bangun, Kita Bagi Jadi”, hasil kolaborasi dengan penyanyi rap negara, Aman RA.

Lagu ini adalah versi baharu kepada karya asal “Bangun” yang telah sekian lama dikenali sebagai simbol semangat dan daya juang.

Pembikinan semula ini bukan sahaja menyuntik nafas baharu kepada karya terbabit, malah turut mencerminkan nilai-nilai ketahanan, harapan dan solidariti rakyat Malaysia yang diangkat melalui kempen ini.

Video muzik itu mengetengahkan gabungan dua figura yang sinonim dengan semangat tidak mudah menyerah Aman RA dan ikon Olimpik negara, Dato’ Azizulhasni Awang.

Naratif video memaparkan kisah-kisah perjuangan dan kejayaan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang termasuk usahawan, pelajar, serta artis muda yang telah menerima impak positif hasil sokongan program dan produk CIMB.

Kesemua kisah ini disatukan dalam satu mesej utama tiada cabaran yang terlalu besar jika wujud tekad dan keyakinan bahawa segalanya boleh menjadi kenyataan.

Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, muzik dan sukan telah lama menjadi medium penyatuan masyarakat, dan melalui pendekatan ini, CIMB mahu mendekati rakyat dengan cara yang lebih bermakna.

“Kita Bagi Jadi adalah ekspresi kreatif matlamat kami. Pada peringkat awal kempen, kami menyokong jaguh sukan negara seperti S. Sivasangari, Dato’ Azizulhasni dan terbaharu Amer Harris dalam merealisasikan impian mereka.

“Kini, melalui lagu dan kolaborasi ini, kami harap rakyat Malaysia terus mengingati bahawa semangat juang dan ketahanan adalah kunci untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, CIMB turut menekankan peranannya dalam memperkasa sektor budaya dan seni tempatan melalui platform CIMB Artober satu inisiatif yang bukan hanya meraikan seni, tetapi juga memberi kesan langsung kepada ekonomi kreatif negara.

Sehingga kini, platform berkenaan telah menjana lebih RM20 juta hasil jualan, memberi manfaat kepada lebih 100 artis dari Malaysia dan rantau ini.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar ini, CIMB Artober kini diiktiraf sebagai program rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025, mengangkat Malaysia sebagai pusat pertukaran budaya dan kreativiti serantau.

Edisi tahun ini dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025, dengan penyertaan lebih 20 galeri seni dan 100 orang seniman.

Salah satu tarikan utama adalah pameran eksklusif karya ‘belum pernah dipamerkan’ milik tokoh seni negara, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.

Melangkah ke hadapan, CIMB turut mengukuhkan impaknya di peringkat akar umbi menerusi pelancaran Kita Bagi Jadi Komuniti, sebuah komitmen jangka panjang bernilai RM200 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.

Dana ini bertujuan menyokong komuniti yang kurang mendapat akses, merapatkan jurang sosial dan ekonomi, serta memupuk pertumbuhan inklusif yang tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.

Melalui pendekatan holistik di bawah empat teras utama Komuniti, Produk & Penyelesaian Mesra Pelanggan, Kerjasama Jenama, serta Budaya & Seni CIMB membuktikan bahawa institusi kewangan juga mampu menjadi kuasa penggerak kepada perubahan positif dalam masyarakat.

Gerakan Kita Bagi Jadi bukan sekadar kempen, tetapi satu cerminan iltizam CIMB untuk bersama-sama rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran dan mengejar impian.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular