25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Pelancaran rasmi koperasi pengangkutan Borneo dan aplikasi Borneo VeGo, era baharu mobiliti digital di Sabah

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad (KUPBB) secara rasmi dilancarkan bersama pelancaran aplikasi digital Borneo VeGo E-Pengangkutan, dalam usaha memperkasa usahawan pengangkutan tempatan serta merombak landskap mobiliti digital di rantau Borneo.

Majlis pelancaran yang berlangsung meriah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu itu, telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan turut dihadiri oleh barisan kenamaan kerajaan negeri serta tokoh industri berkaitan.

Acara itu menyaksikan ribuan pengunjung hadir sejak pagi, menandakan sokongan padu terhadap inisiatif baharu ini yang dijangka membawa impak besar kepada komuniti Sabah, Sarawak dan Labuan.

Usaha strategik ini adalah hasil kerjasama antara KUPBB dan syarikat teknologi tempatan, Gerbang Bestari Sdn Bhd, yang bersama-sama membangunkan platform Borneo VeGo satu sistem e-mobiliti yang bukan sahaja mengutamakan kemudahan, tetapi juga memperjuangkan keusahawanan koperasi dan penguasaan ekonomi digital oleh rakyat tempatan.

Kerjasama rasmi kedua-dua pihak dimeterai dalam satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah berlangsung lebih awal pada 20 Julai lalu.

Melalui perjanjian itu, KUPBB diberikan hak eksklusif untuk mengurus dan melaksanakan operasi Borneo VeGo E-Transport di seluruh wilayah Borneo, meliputi kawasan bandar dan luar bandar di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pelancaran ini secara langsung membuka laluan kepada pembangunan alternatif tempatan dalam perkhidmatan e-hailing dan e-pengangkutan yang sebelum ini banyak didominasi oleh syarikat antarabangsa.

Pengerusi KUPBB, Tamrin Eraba berkata, pelancaran ini adalah langkah signifikan dalam membentuk ekosistem pengangkutan digital yang lebih adil, inklusif dan mampan.

“Pelancaran ini adalah satu langkah besar dalam memperkasa koperasi pengangkutan Borneo dan usahawan tempatan.

“Melalui Borneo VeGo E-Transport, kita memperkenalkan platform digital yang pintar, selamat dan mampan, sejajar dengan keperluan dan aspirasi komuniti kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Gerbang Bestari Sdn Bhd, Maliki Mohamed berkata, pihaknya yakin terhadap potensi kerjasama ini dalam menjadikan Borneo VeGo sebagai produk tempatan yang mampu bersaing dan memberi nilai jangka panjang kepada rakyat.

“Kami berbangga bekerjasama dengan koperasi berwawasan seperti KUPBB. Kepakaran teknologi dan operasi kami, digabungkan dengan jaringan akar umbi KUPBB, kami akan memastikan Borneo VeGo menjadi solusi e-mobiliti milik rakyat Borneo sendiri,” katanya.

Platform Borneo VeGo E-Transport diperkenalkan bukan sekadar sebagai perkhidmatan e-hailing biasa.

Ia membawa dimensi baharu dalam pembangunan sosioekonomi tempatan, dengan objektif utama menjana peluang pekerjaan, memperkukuh keusahawanan koperasi serta mengurangkan kebergantungan kepada platform pengangkutan luar negara.

Dalam fasa pelaksanaannya, sistem ini akan merangkumi pelbagai perkhidmatan seperti pengangkutan e-hailing, teksi, kenderaan sewa persendirian, penghantaran barang dan dalam masa terdekat, pengangkutan hijau berasaskan teknologi elektrik dan penggunaan data analitik.

Usaha ini akan disusuli dengan proses pengambilan pemandu, pelantikan agensi wilayah, sokongan sewaan kenderaan, pelancaran aplikasi mudah alih, serta pelaksanaan strategi pemasaran khusus mengikut kawasan.

Inisiatif ini juga dilihat seiring dengan aspirasi “Sabah Maju Jaya”, yang menekankan pemerkasaan autonomi serantau serta penggunaan inovasi dalam memajukan sektor kritikal seperti pengangkutan.

Dengan penglibatan koperasi sebagai pemegang utama, Borneo VeGo bakal menjadi simbol kejayaan rakyat Borneo dalam memacu perubahan menerusi teknologi dan semangat keusahawanan.

Pelancaran ini bukan sahaja menandakan permulaan kepada sebuah platform baharu, tetapi turut mencerminkan kebangkitan suara tempatan dalam industri yang selama ini banyak disuntik oleh pemain luar.

Kini, rakyat Borneo memiliki sistem e-mobiliti mereka sendiri dibina oleh mereka, untuk mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular