26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 26, 2026

TVS umum kandungan baharu & peluang penajaan 360° untuk 2026 menerusi TVS Spotlight 25/26

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV Sarawak (TVS), stesen televisyen pertama dari Bumi Kenyalang yang kini berkembang pesat sebagai pemain media nasional, terus memperkukuh kedudukannya menerusi penganjuran sidang media eksklusif bertajuk “TVS Spotlight 25/26”.

Acara itu menjadi platform penting bagi menyingkap visi, kandungan baharu serta pelbagai peluang penajaan yang ditawarkan bagi tahun 2026.

Sejak mula bersiaran pada tahun 2020, TVS kekal komited memperjuangkan budaya, identiti dan warisan Borneo menerusi kandungan kreatif dan relevan.

Kini, lima tahun selepas penubuhannya, stesen ini melangkah lebih jauh dengan pelan pengembangan strategik yang menjadikan kandungan dari Sarawak mampu bersaing di peringkat nasional dan serantau.

Pengerusi dan Presiden TVS serta Sarawak Media Group (SMG) Dato’ Norhyati Ismail berkata, usaha ini bukan sekadar untuk memperkenalkan rancangan baharu, malah untuk meningkatkan visibiliti jenama TVS dalam kalangan penonton seluruh Malaysia dan menarik lebih banyak rakan kongsi strategik.

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan brand visibility TVS, terutamanya di pasaran nasional, serta memperkenalkan kandungan baharu yang segar untuk 2026.

“Melalui pengenalan program dan peluang penajaan ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak lagi rakan kongsi baharu, sekali gus memperkukuh pengaruh TVS di peringkat serantau dan nasional,” katanya.

Bagi tahun 2026, TVS merancang memperkenalkan pelbagai program menarik yang meliputi drama bersiri, rancangan hiburan, dokumentari serta liputan langsung acara sukan berprestij seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya, dan kejohanan Piala Carabao.

Antara yang paling dinanti-nantikan ialah kemunculan semula siri ikonik Gerak Khas 2.0, yang dijangka menarik minat penonton pelbagai lapisan usia.

Menariknya, hala tuju baharu ini bukan hanya tertumpu kepada televisyen tradisional semata-mata.

TVS turut memperkukuh strategi digital sebagai saluran penyampaian utama yang dapat menjangkau penonton lebih luas bukan sahaja di Sarawak, malah ke seluruh Malaysia dan rantau ASEAN.

“Fokus kami adalah untuk menjadi media yang memahami dinamik Borneo sambil menghubungkan penonton ke seluruh Malaysia dan seterusnya,” katanya lagi.

Salah satu nilai utama yang terus menjadi teras kepada TVS ialah pengisian kandungan yang menonjolkan keunikan budaya dan warisan Borneo.

Program seperti Sarawak Regatta dan Sambutan Perayaan Gawai diterjemahkan secara moden, namun tetap mengekalkan identiti tempatan, menjadikan TVS sebagai jambatan yang menghubungkan keunikan Sarawak kepada khalayak lebih luas.

TVS membuktikan bahawa kandungan bercirikan tempatan boleh mempunyai daya tarikan sejagat jika dipersembahkan secara berkualiti dan kreatif.

Bagi menyokong pertumbuhan jenama dan perniagaan, TVS turut memperkenalkan pakej penajaan 360° yang merangkumi semua saluran dari siaran TV, platform digital dan media sosial, hingga ke papan iklan LED berimpak tinggi di lokasi strategik.

Pakej ini turut diperkukuh melalui kerjasama bersama rakan media seperti Suara Sarawak, Sarawak Tribune, dan Cats FM, menjadikan TVS sebagai sebuah platform iklan menyeluruh yang efektif.

“Jenama anda bukan sahaja akan dilihat di satu skrin, tetapi di setiap skrin sama ada di rumah, dalam talian atau di jalan raya.

“Dengan gabungan kandungan serantau, capaian nasional dan visibiliti rentas sempadan, TVS menawarkan peluang untuk membina hubungan jenama yang kukuh di seluruh Malaysia,” katanya.

Sebagai pemangkin kepada industri kreatif, TVS juga terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan.

Lebih 300 vendor tempatan telah berpeluang bekerjasama dengan TVS sejak penubuhannya, sekali gus mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor penyiaran dan produksi kreatif.

Langkah ini sejajar dengan komitmen TVS untuk menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi kreatif dan memastikan industri media negara berkembang secara mampan.

Dengan sasaran penonton meliputi seluruh Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah serta fokus ke arah pasaran serantau, TVS kini berada di landasan kukuh untuk menjadi antara pemain utama industri penyiaran negara.

Capaian digital yang semakin meluas turut menjadikan kandungan TVS lebih mudah diakses oleh generasi muda yang lebih gemar kepada kandungan on-demand dan interaktif.

“Kami yakin ‘TVS Spotlight 25/26’ ini akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” katanya.

Dengan pelan yang jelas, kandungan yang menarik, serta pakej penajaan menyeluruh, TVS bukan sahaja membawa suara Borneo ke seluruh Malaysia malah bersedia menakluki pentas serantau sebagai jenama media progresif yang memahami nadi rakyat dan keperluan industri.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular