editormaxinfo@gmail.com
MACHANG -Kementerian Dalam Negeri mengesahkan kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan digali semula dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada langkah melengkapkan siasatan kes kematian remaja itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu diambil susulan arahan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam.
Beliau memaklumkan pihak polis akan melaksanakan proses ekskavasi secepat mungkin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh.
“Memandangkan kita baru menerima arahan, pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara.
“Proses gali semula kubur akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada Majlis Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan yang berlangsung hari ini.
Katanya, fokus utama pasukan siasatan adalah untuk mengemas kini segala maklumat berkaitan dan mengumpul bukti-bukti baharu yang boleh membantu merungkai punca sebenar kematian Allahyarham Zara Qairina.
“Sudah tentu kita akan memastikan setiap langkah siasatan dilakukan secara teliti dan berprinsip.
“Polis tidak akan berkompromi dalam menegakkan prinsip keadilan. Kita perlu berlaku adil kepada semua pihak sama ada kepada arwah Zara, ahli keluarganya, pihak sekolah mahupun guru,” katanya.

Semalam, media melaporkan Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula untuk tujuan bedah siasat, atas keperluan meneruskan siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan semua aspek siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan adil kepada semua pihak yang terbabit.
Ketika ditanya sama ada bedah siasat tidak dilakukan terhadap jenazah Zara Qairina sebelum ini, Saifuddin enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata, adalah lebih wajar untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka tanpa sebarang spekulasi.
“Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian. Biarlah proses siasatan dijalankan terlebih dahulu dan kita akan maklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Kes kematian Zara Qairina sebelum ini mendapat perhatian meluas masyarakat dan menimbulkan pelbagai persoalan.
Proses ekskavasi semula kubur dijangka menjadi langkah penting dalam usaha pihak berkuasa mendapatkan kejelasan dan keadilan dalam kes ini.
I appreciate you sharing this blog post. Thanks Again. Cool.