28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 22, 2026

RMK13 tekankan keselamatan negara dan kebajikan anggota, komitmen MADANI demi rakyat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disambut penuh penghargaan oleh pelbagai pihak, termasuk Kementerian Dalam Negeri, yang menyifatkan dokumen pembangunan lima tahun itu sebagai pelan menyeluruh yang mencerminkan keperluan sebenar rakyat dan hala tuju masa depan negara.

Mengangkat tema “Melakar Semula Pembangunan”, RMK13 menjadi lambang iltizam Kerajaan Perpaduan dalam membina fasa pembangunan negara yang lebih seimbang, beretika dan berteraskan prinsip Malaysia MADANI.

Tidak hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi, pelan ini turut menitikberatkan nilai kemanusiaan, keadilan sosial, tadbir urus berintegriti dan hasil yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RMK13 telah meletakkan asas yang jelas dalam memperkukuh sektor keselamatan negara aspek yang disifatkan sebagai “tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara”.

“Peruntukan sebanyak RM51 bilion kepada sektor keselamatan menandakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting agensi-agensi keselamatan dalam melindungi negara daripada pelbagai ancaman moden dan rentas sempadan.

“Dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks serta kewujudan ancaman seperti jenayah siber, pemerdagangan manusia, penyeludupan dan ekstremisme, langkah-langkah untuk memodenkan sistem pertahanan dalaman amat diperlukan,” katanya.

Justeru, pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (IIS) serta penggunaan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai strategi tepat untuk memperkukuh kecekapan operasi dan kawalan sempadan, termasuk di kawasan sensitif seperti Laut China Selatan.

Lebih daripada itu, RMK13 turut menzahirkan komitmen kerajaan terhadap kebajikan warga keselamatan, khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi penguatkuasaan lain yang berkhidmat di barisan hadapan.

“Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu untuk PDRM, 3,088 unit kuarters ATM yang telah siap, di samping lebih 8,500 unit lagi dalam pembinaan, mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan anggota serta keluarga mereka terus terpelihara.

“Sebanyak 69,141 unit kuarters sedia ada juga telah dibaik pulih setakat ini, satu langkah signifikan ke arah menyediakan persekitaran hidup yang lebih kondusif bagi warga keselamatan yang selama ini menjadi benteng utama keamanan negara,” katanya.

Saifuddin berkata, pasukan keselamatan hanya mampu berkhidmat dengan penuh cekap dan dedikasi apabila keperluan asas mereka terjamin.

Oleh itu, sokongan menyeluruh membabitkan infrastruktur, teknologi, latihan serta jaminan sosial akan terus diperkasakan demi kelangsungan pasukan keselamatan yang profesional dan berdaya saing.

Tambah beliau, kementerian akan mendukung sepenuhnya pelaksanaan RMK13 dan berazam memastikan segala inisiatif berkaitan keselamatan dalam negeri dilaksanakan secara efisien dan berimpak tinggi.

“Tumpuan akan terus diberikan kepada usaha memelihara kedaulatan undang-undang, menjaga keselamatan awam, dan menjamin ketenteraman hidup seluruh rakyat Malaysia.

“RMK13 bukan sekadar pelan pembangunan dalam bentuk angka dan statistik, tetapi merupakan aspirasi bersama menuju sebuah negara yang aman, sejahtera dan bersatu padu.

“Dengan berbekalkan iltizam politik yang teguh serta sokongan rakyat, kerajaan yakin pelaksanaan RMK13 akan membawa hasil yang berkekalan demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular