30.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 14, 2025

Bekas Imam Masjid Negara dilantik Timbalan Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bekas Imam Masjid Negara, Muhammad Fikri Abdul Aziz, kini menggalas tanggungjawab baharu sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Ketua Penerangan KEADILAN Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata, pelantikan ini sekali gus menandakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh kepimpinan dan perancangan pembangunan di peringkat Wilayah Persekutuan.

Muhammad Fikri, yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Putrajaya, membawa bersamanya latar belakang yang luas dalam bidang keagamaan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

“Pengalaman beliau sebagai figura dihormati dalam institusi agama dan penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan menjadikan beliau tokoh yang diyakini mampu menyumbang secara berkesan dalam memacu agenda pembangunan negeri.

“Pelantikan beliau dianggap sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan rekod perkhidmatannya yang cemerlang dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, khususnya di kawasan Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Peranan baharu ini akan menyaksikan beliau terbabit secara langsung dalam penyelarasan dasar, pemantauan pelaksanaan program pembangunan, serta perancangan strategik yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat.

Sebagai Timbalan Pengerusi MPN, beliau dijangka memainkan peranan penting dalam merangka inisiatif pembangunan berimpak tinggi yang bersifat inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan nilai-nilai kemanusiaan.

“Gabungan kepakaran beliau dalam hal ehwal agama, kecekapan kepimpinan serta keprihatinan terhadap isu-isu rakyat diyakini mampu memperkukuh usaha MPN dalam memperkasa pembangunan Wilayah Persekutuan secara menyeluruh dan bersepadu,” kata Mohd Hafiz lagi.

Pelantikan ini juga memberi isyarat jelas terhadap komitmen KEADILAN dalam membawa pemimpin berwibawa ke barisan hadapan kepimpinan negeri demi manfaat masyarakat seluruhnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular