22.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 19, 2025

AMK bantah pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan pendirian tegas membantah pencalonan tokoh konservatif dari Amerika Syarikat, Nick Adams, sebagai Duta Besar negara itu ke Malaysia.

Bantahan itu didasarkan kepada latar belakang serta ideologi politik Adams yang dilihat bertentangan dengan nilai asas masyarakat Malaysia yang berteraskan kepelbagaian, toleransi dan saling menghormati.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin, pencalonan Adams dianggap tidak sesuai berikutan kecenderungan ekstrem kanan yang dibawanya, selain sering menyuarakan pandangan yang disifatkan sebagai memecah belah serta tidak selari dengan prinsip keadilan sejagat.

“Pendekatan beliau jelas bertentangan dengan nilai kemajmukan, toleransi dan solidariti yang dipegang oleh rakyat serta Kerajaan Malaysia,” tegas Arief.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak menyuarakan kebimbangan terhadap pencalonan mana-mana wakil diplomatik asing yang dirasakan boleh menjejaskan keharmonian serta dasar luar negara ini.

Arief berkata, pendirian itu adalah selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik yang memperuntukkan hak sesebuah negara penerima untuk menerima atau menolak pencalonan wakil diplomatik tanpa perlu memberikan sebab rasmi.

Katanya, penolakan ini bukan bersifat permusuhan, sebaliknya adalah langkah wajar bagi mengekalkan hubungan dua hala yang sihat, seimbang dan berteraskan prinsip saling menghormati.

Sebagai tindakan lanjut, AMK akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi menyuarakan bantahan serta pendirian rasmi pergerakan itu terhadap pencalonan Adams.

AMK turut mendesak agar Washington mempertimbangkan calon lain yang lebih berwibawa, sederhana dan menghormati nilai keadilan serta kepelbagaian yang menjadi asas masyarakat Malaysia.

Pencalonan Nick Adams diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada 11 Julai lalu.

Adams, adalah bekas penggubal dasar dan Datuk Bandar sebuah bandar kecil di Australia, dikenali dengan kenyataan-kenyataan kontroversi berbaur anti-wanita, Islamofobia serta sikap keras terhadap komuniti transgender dan budaya inklusif yang sering dikaitkan dengan istilah ‘woke’.

Pandangannya yang ekstrem dan retorik yang memecah belah ini mencetuskan kebimbangan terhadap potensi kesan negatif terhadap hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan berasingan, Pemuda Amanah turut menyuarakan kebimbangan yang sama.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Mus’ab Muzahar menyifatkan latar belakang dan kecenderungan ideologi Adams sebagai bertentangan dengan nilai yang dipegang rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan individu sebegitu seharusnya tidak diberi ruang dalam arena diplomatik yang memerlukan kepekaan budaya, keterbukaan dan saling hormat-menghormati.

Pencalonan ini dijangka terus mencetuskan perbahasan dalam kalangan masyarakat sivil dan pemimpin politik tempatan, khususnya mengenai peranan dan tanggungjawab diplomat asing dalam menghormati norma serta sensitiviti negara tuan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular