30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

“Basstamam”, lagu debut Syed Iqbal bersama Masyhur raih perhatian sebelum pelancaran rasmi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu yang semakin mendapat perhatian, Syed Iqbal, kini secara rasmi menyertai label muzik berteraskan keislaman, Masyhur di bawah naungan Universal Music Malaysia.

Langkah ini menandakan permulaan baharu dalam kerjayanya sebagai artis rakaman profesional yang beraspirasikan nilai spiritual dan ketenangan jiwa.

Menampilkan single sulung berjudul Basstamam, lagu ini diangkat sebagai karya pembukaan yang mengetengahkan tema kedamaian dan kebahagiaan dalam menempuh cabaran hidup.

Sebelum pelancaran rasminya lagi, Basstamam sudah pun mencuri perhatian ramai di media sosial, khususnya di TikTok dan Instagram, dengan ribuan ciptaan kandungan oleh peminat yang menjadikan lagu ini sebagai latar inspirasi.

Lagu berkenaan adalah hasil ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh, manakala liriknya ditulis oleh Abdulkarim Al Ali bersama Wan Saleh.

Basstamam membawa mesej menyentuh jiwa ia mengajak pendengar untuk menghargai momen kebersamaan dengan insan tersayang, sama ada keluarga, sahabat mahupun pasangan, sambil melepaskan tekanan kehidupan yang menghimpit.

Bagi Syed Iqbal sendiri, pengalaman merakamkan lagu ini menjadi titik penting dalam perjalanan seninya.

Walaupun sedikit gementar pada awalnya, beliau menyifatkan proses rakaman sebagai sesuatu yang menggembirakan dan tidak mengambil masa lama.

“Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira.

“Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini,” katanya dengan penuh semangat.

Susunan muzik yang diatur dengan penuh teliti oleh Wan Saleh dan diterbitkan bersama Amir Hufaz dan Wan Saleh memberi sentuhan yang mendamaikan.

Basstamam disusun dalam gaya yang tenang dan penuh perasaan, menjadikannya sesuai untuk didengar dalam suasana santai atau saat-saat merenung makna kehidupan.

Syed Iqbal berkata, dia berharap lagu ini akan memberi ketenangan kepada jiwa-jiwa yang sedang diuji.

“Saya harap pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa basstamam itu dalam hati.

“Kita semua perlukan ketenangan, dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang mencari damai,” katanya.

Video muzik bagi lagu ini turut dirakam dalam suasana mencabar, termasuk penggambaran di kawasan berbukit dari pagi hingga ke petang.

Namun begitu, Syed Iqbal meluahkan rasa syukur dan teruja atas kerjasama serta semangat yang ditunjukkan oleh pasukan produksi.

“Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat supportive, saya berasa sangat bersemangat untuk menjayakan MV ini,” katanya.

Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pasukan kreatif di belakang tabir juga menjadi kekuatan dalam penghasilan Basstamam.

“Semua yang terbabit sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya benar-benar menghargai komitmen mereka,” katanya lagi.

Menariknya, sebelum pelancaran rasmi, lagu ini telah mencipta fenomena tersendiri di media sosial dengan lebih 20,000 ciptaan di TikTok dan lebih 2,000 di Instagram.

Pengguna media sosial telah mencetuskan trend yang dikenali sebagai ‘Wahai Bulan Purnama’, iaitu trend peralihan visual yang memaparkan transformasi diri ke arah versi yang lebih positif dan berkeyakinan.

Basstamam kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.

Video muzik rasmi lagu ini juga telah dimuat naik ke saluran YouTube rasmi Masyhur.

Dengan mesej yang menyentuh perasaan serta susunan muzik yang tenang dan penuh makna, Basstamam dijangka terus meraih tempat dalam hati pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular