editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM), selaku Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan, menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad negara atas pencapaian membanggakan mereka dalam Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Pasukan kebangsaan mencipta kejayaan gemilang apabila berjaya menjuarai dua daripada empat acara yang dipertandingkan, iaitu dalam kategori Regu dan Kuadran.
Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keunggulan sukan sepak takraw tanah air, tetapi turut mengangkat semangat kesukanan dan ketahanan mental atlet Malaysia di pentas antarabangsa.
TM menyifatkan kejohanan ini sebagai platform penting untuk mengetengahkan bakat-bakat tempatan dalam sukan tradisional yang menjadi kebanggaan negara.
Sokongan padu yang diberikan oleh TM kepada pasukan kebangsaan membuktikan komitmen berterusannya dalam memperkasakan pembangunan sukan sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai pembina negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan luar biasa yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan sepanjang kejohanan.
“Kami amat berbangga dengan pasukan sepak takraw kebangsaan atas aksi mantap sepanjang kejohanan ini.
“Ia bukan sahaja daripada segi bakat, tetapi juga ketabahan dan semangat berpasukan yang ditonjolkan antara nilai-nilai yang amat kami hargai di TM.
“Pencapaian mereka dalam kejohanan Piala Asia ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menyokong pembangunan sukan Malaysia sebagai sebahagian penting perjalanan kami dalam pembinaan negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Mohd Sumali Reduan, turut menyampaikan penghargaan atas dedikasi pasukan dan peranan penting yang dimainkan oleh TM sebagai penyokong utama.

“Kejohanan ini menjadi langkah bermakna dalam memartabatkan sukan sepak takraw negara. Kejayaan merangkul dua kejuaraan di tanah air adalah bukti jelas kepada usaha gigih, disiplin dan semangat juang para atlet kebangsaan kita.
“Bagi pihak pasukan kebangsaan dan seluruh komuniti sepak takraw, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TM atas sokongan yang diberi serta keyakinan bersama dalam misi kami untuk membangunkan bakat tempatan dan mengangkat sukan tradisional ini ke persada antarabangsa,” katanya.
TM turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan atlet tanah air melalui sokongan moral dan sorakan yang tidak pernah putus.
Sambutan yang hangat daripada peminat memberi inspirasi besar kepada pasukan dalam mengejar kejayaan di peringkat tertinggi.
Sebagai sebuah entiti yang percaya kepada kuasa penyatuan melalui sukan, TM terus komited dalam memainkan peranan aktif menyokong pembangunan sukan tanah air.
Melangkaui peranannya dalam dunia teknologi, TM berpegang teguh pada nilai perpaduan, ketangkasan, dan kecemerlangan nilai-nilai yang turut terpantul dalam sukan sepak takraw.
Melalui kerjasama strategik seperti ini, TM bukan sahaja memperkukuh imejnya sebagai pembina negara, malah terus memperkasa komuniti melalui inisiatif yang memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.

