24.7 C
Kuala Lumpur
Monday, June 16, 2025

Astro kembali dengan ‘INNOVATHON’ musim ketiga: Pencarian inovator kreatif bermula Jun ini

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Astro mengumumkan pelancaran rasmi musim ketiga program realiti televisyen ‘INNOVATHON’, satu inisiatif yang diteruskan dengan kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Selepas dua musim yang berjaya, program ini kini kembali dengan misi untuk mencari individu berbakat dan kreatif dalam bidang inovasi, bermula 10 Jun hingga 5 Ogos 2025.

Sebagai pemenang Anugerah ContentAsia 2024 dalam kategori Program Realiti Original dan/atau Pertandingan Terbaik, ‘INNOVATHON’ telah membuktikan bahawa ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah platform berimpak tinggi yang memupuk bakat inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kejayaan ini memperlihatkan komitmen Astro dalam menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mencetus perubahan dalam masyarakat.

Pusingan uji bakat untuk musim kali ini akan berlangsung di enam lokasi strategik di seluruh negara, termasuk Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur.

Lokasi-lokasi ini dipilih bagi memastikan akses lebih menyeluruh kepada inovator dari pelbagai latar belakang untuk hadir dan mempersembahkan idea mereka yang berpotensi mencorak masa depan negara.

Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, pihaknya teruja terhadap kolaborasi yang diteruskan bersama dua kementerian utama negara.

Beliau turut menyeru agar lebih ramai inovator tampil dengan idea-idea baharu yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Astro kekal komited untuk menyediakan pentas kepada idea yang bernas dan kreatif, sejajar dengan matlamat untuk memperkasakan masyarakat melalui sains dan teknologi.

“Musim lalu sahaja, 56 idea telah dipilih untuk diketengahkan, dengan tiga projek muncul sebagai finalis utama.

“Tahun ini, kami ingin lihat lebih banyak impak daripada bakat-bakat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, program seperti ‘INNOVATHON’ sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan budaya inovasi nasional.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menyahut cabaran ini. Menyumbang idea, mengasah kreativiti dan membudayakan inovasi dalam kehidupan seharian demi masa depan negara.

“Melalui program ini, kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Musim lalu, gelaran juara disandang oleh Profesor Dr. Azizi Ayob, pengasas ABA Healthcare Business & Consultancy Sdn. Bhd., dengan inovasi perubatan ciptaannya, Bioprotein Powder.

Teknologi ini membolehkan protein cecair diubah menjadi bentuk serbuk yang lebih stabil, sama ada secara kimia mahupun fizikal.

Persembahan beliau yang meyakinkan telah berjaya menarik perhatian juri dan membawa pulang ganjaran wang tunai sebanyak RM100,000 serta Dana Pembangunan Perniagaan bernilai RM1 juta.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai sesi uji bakat musim ini, pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian melalui kod QR yang disediakan di laman rasmi gempak.com.my.

Calon yang telah mendaftar dikehendaki membawa dokumen lengkap termasuk borang penyertaan, salinan kad pengenalan dan dokumen sokongan lain ketika hadir ke sesi uji bakat fizikal yang akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang di lokasi terpilih.

‘INNOVATHON’ musim ketiga bukan sahaja menjanjikan peluang untuk menyerlahkan bakat, tetapi juga menjadi jambatan penting yang menghubungkan inovasi rakyat kepada sokongan kerajaan dan komuniti industri.

Ia adalah sebuah inisiatif yang menonjolkan masa depan negara yang dipacu oleh idea-idea besar rakyatnya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular