30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Irau Aco Lun Bawang Ke-38 kembali meriah: Lawas sedia sambut pesta etnik terbesar di Borneo

editormaxinfo@gmail.com

LAWAS – Daerah Lawas sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila Irau Aco Lun Bawang, salah satu perayaan etnik paling berprestij di Borneo, kembali untuk edisi ke-38 dari 1 hingga 3 Jun 2025, depan.

Bertempat di Stadium Tertutup Lawas, pesta tahunan ini dijangka mengumpulkan lebih 3,000 peserta dan menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang minggu pelaksanaannya.

Dianjurkan oleh Persatuan Lun Bawang Sarawak dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Lembaga Pelancongan Sarawak, festival ini telah lama terukir dalam Kalendar Pelancongan Rasmi Negeri Sarawak.

Tahun ini, festival yang terletak di bawah bidang kuasa Limbang Division Tourism Task Force itu membawa tema Honouring Heritage, Embracing Tomorrow sebagai lambang penghargaan terhadap warisan dan aspirasi masa depan masyarakat Lun Bawang.

Presiden Persatuan Lun Bawang Sarawak yang baru dilantik, Jerry Siran Langan berkata, festival ini bukan sahaja menjadi medium perayaan budaya, malah turut memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi tempatan.

“Irau Aco Lun Bawang terus menjadi acara kebudayaan yang dinanti-nantikan di wilayah utara Sarawak.

“Selain sebagai sambutan warisan, festival ini membawa impak ekonomi yang ketara kepada Lawas setiap tahun.

“Sambil kita melihat ke masa hadapan, saya berharap festival ini akan terus berkembang sebagai platform untuk mempamerkan kekayaan identiti, seni dan tradisi Lun Bawang,” katanya.

Sepanjang tiga hari pelaksanaannya, pengunjung boleh menjangkakan pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.

Antara acara sukan yang akan memeriahkan suasana termasuk bola sepak, bola tampar, badminton, tarik tali dan pertandingan sumpitan yang mana kesemuanya mencerminkan semangat kesukanan dan tradisi masyarakat setempat.

Menjelang malam, pentas kebudayaan pula bakal menyinari suasana dengan persembahan daripada kumpulan-kumpulan tradisional Lun Bawang dan Lundayeh dari Sarawak, Sabah, Brunei (Temburong) dan Kalimantan, Indonesia.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan penyertaan kumpulan etnik lain seperti Kedayan, Bisaya, Tagal Okolod dan Murut, menjadikan festival ini sebagai pentas penyatuan budaya Borneo yang berwarna-warni.

Salah satu acara paling dinanti-nantikan ialah pertandingan Ruran Ulung dan Padan Liu Burung iaitu acara yang diinspirasikan daripada legenda rakyat Lun Bawang.

Gelaran berprestij ini kini disandang oleh Grace Benjamin dari Lawas Damit dan Malvin Murang dari Ba’ Kelalan, yang telah dimahkotakan pada tahun 2024.

Tahun 2025 juga menandakan penggal keempat berturut-turut buat Jude Benjamin Lisa sebagai Pengerusi Penganjur festival.

Di bawah kepimpinannya, Irau Aco Lun Bawang telah melalui transformasi ketara, bukan sahaja dari segi struktur penganjuran malah dalam pengiktirafan sebagai salah satu perayaan etnik terkemuka di rantau ini.

“Membiayai festival seperti Irau Aco adalah penting bukan sahaja untuk mengekalkan warisan budaya tetapi untuk memacu impak yang mampan untuk perniagaan dan komuniti tempatan,” katanya sambil mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke Lawas pada bulan Jun ini.

Majlis penyampaian pelan festival telah diadakan baru-baru ini kepada Pejabat Residen Limbang dan disaksikan oleh Hajah Aspalela Mohamad Sahmoni bersama wakil-wakil agensi kerajaan lain di bahagian Limbang.

Sebagai tambahan, peluang penajaan kini dibuka kepada rakan-rakan korporat dan komuniti yang ingin menjadi sebahagian daripada festival yang kian berkembang dengan jangkauan serantau yang luas ini.

Dengan latar belakang budaya yang kaya, semangat komuniti yang utuh dan daya tarikan pelancongan yang unik, Irau Aco Lun Bawang ke-38 dijangka menjadi antara festival etnik paling berpengaruh pada tahun ini bukan sahaja sebagai perayaan, tetapi sebagai cerminan jati diri dan warisan masyarakat Lun Bawang yang tidak pernah luntur ditelan zaman.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular