editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Stesen radio No.1, ERA, mengumumkan kembalinya penyampai segmen popular, 3Pagi ERA, setelah mereka direhatkan selama sebulan.
Kembalinya trio penyampai Nabil, Azad, dan Radin disambut gembira oleh pendengar setia mereka, yang tidak sabar untuk mendengar gelak tawa dan kemesraan mereka ke udara.
Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, berkata walaupun penyampai utama 3Pagi ERA direhatkan, mereka tidak berdiam diri.
Sepanjang ketiadaan Nabil, Azad, dan Radin, Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq, dan Namie telah menggantikan tempat mereka dengan penuh cemerlang.
Gandingan penyampai pengganti ini turut berjaya memeriahkan segmen 3Pagi ERA dengan kreativiti dan pengisian yang berinformasi serta menghiburkan, memastikan pendengar tidak kehilangan elemen hiburan yang diinginkan.
“Selama mereka direhatkan, kami menerima banyak maklum balas daripada pendengar yang merindui telatah dan kolek (coletah) Nabil, Azad, dan Radin.
“Rata-rata pendengar sangat teruja dan tidak sabar untuk mendengar kembali gandingan mereka selepas pengumuman bahawa mereka akan kembali bersiaran pada 7 April 2025,” kata Azah.
Azah berkata, walaupun ketidakhadiran penyampai utama 3Pagi ERA, stesen ini tetap fokus untuk memberikan kandungan terbaik sepanjang bulan Ramadan.
Beberapa aktiviti menarik telah dijalankan, antaranya program Ais Batu ERA, di mana pihak stesen menghantar ais batu secara percuma ke depan pintu rumah pendengar, dan juga inisiatif bersihkan rumah pendengar ERA sempena sambutan Hari Raya.
Sementara itu, Nabil, Azad, dan Radin turut meluahkan rasa teruja mereka untuk kembali ke studio dan merapatkan kembali hubungan dengan pendengar setia yang terus menyokong kerjaya mereka.

Mereka berpendapat kembalinya mereka ke udara adalah peluang terbaik untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada pendengar yang sentiasa berada di belakang mereka, tidak kira dalam apa jua keadaan.
“Sebagai tonggak utama 3Pagi ERA, kami berjanji untuk terus membawa pelbagai aktiviti dan program yang memberi impak positif kepada semua pihak.
“Kami juga akan terus mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan untuk program-program seterusnya.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pendengar setia ERA yang terus memberi sokongan dan semangat, serta memastikan kami kekal relevan dalam industri penyiaran radio,” kata mereka.
Kehadiran semula Nabil, Azad, dan Radin di udara sekali lagi memperlihatkan komitmen ERA dalam menyediakan hiburan yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga memberi kesan positif kepada masyarakat.
Dengan sokongan padu daripada pendengar, ERA akan terus menjadi pilihan utama di hati rakyat Malaysia.