KUALA LUMPUR – Biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sekali lagi memeriahkan sambutan Hari Raya dengan mempersembahkan single raya terbaharu, Raya Nak Ke Mana?.
Lagu yang dicipta oleh Aisha Retno dan RADi ini dihasilkan dengan sentuhan istimewa, menggabungkan lirik karya Aisha Retno dan Amylea Azizan.
Berentak zapin, lagu ini membawa penonton kembali ke zaman nostalgia dengan unsur-unsur lagu raya tradisional yang pernah dibawakan oleh Siti Nurhaliza, namun dengan gaya yang segar dan moden.
Siti berkata, lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya beliau dan tahun ini beliau berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar.
“Sebagai seorang artis berpengalaman, saya amat teruja dapat bekerjasama dengan anak muda, yang diyakini mempunyai kreativiti dan kelebihan tersendiri dalam menghasilkan karya.
“Raya Nak Ke Mana? membuktikan bahawa pencipta muda juga mampu menghasilkan lagu raya yang enak didengar, mudah diikuti, serta mampu menghidupkan suasana kemeriahan hari raya yang dinantikan ramai,” katanya.
Katanya, beliau tidak perlu berfikir panjang selepas mendengar demo lagu berkenaan.
“Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya.
“Saya sangat berharap agar lagu ini akan diterima pendengar dan peminat seperti koleksi lagu raya lain yang pernah saya nyanyikan,” katanya penuh harapan.
Raya Nak Ke Mana? diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd.
Lagu ini boleh didengar di semua platform digital dan video muziknya juga turut dilancarkan pada hari yang sama di saluran YouTube rasmi Siti Nurhaliza.
Dengan keunikan dan keistimewaan yang dimiliki lagu ini, pasti ia akan menjadi lagu raya yang dinantikan oleh peminat setiap tahun.

