editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan bukan hanya sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk mempereratkan hubungan persaudaraan dan menyemai kasih sayang sesama insan.
Mengambil semangat itu, TV AlHijrah terus mengorak langkah menerusi Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, sebuah program yang bukan sahaja mengedarkan juadah berbuka puasa, tetapi juga menjadi jambatan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
Program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk kali ini bakal berlangsung di dua lokasi utama iaitu Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka dengan setiap lokasi menawarkan pengalaman yang unik dan istimewa.
Program ini bertujuan menonjolkan keindahan bersedekah dan berkongsi rezeki, selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya untuk saling membantu, lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Di Lembah Klang, pengagihan bubur lambuk akan dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan, antaranya Flat Taman Mulia, Cheras (19 Mac), Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), serta Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac).
Masyarakat setempat, termasuk golongan asnaf, jemaah masjid, pelajar tahfiz, serta petugas barisan hadapan, bakal menikmati agihan bubur lambuk dalam suasana penuh kemesraan dan kesyukuran.
Program ini turut mendapat sokongan daripada rakan penaja seperti MYTV, dan disemarakkan dengan kehadiran sukarelawan, personaliti serta warga kerja TV AlHijrah yang akan berganding bahu dalam penyediaan dan pengedaran bubur lambuk.

Gotong-royong memasak dan mengacau bubur lambuk ini bukan sahaja satu tugas, tetapi juga simbol kebersamaan, melambangkan ukhuwah yang kukuh antara semua yang terbabit.
Lebih istimewa lagi, di Pulau Sebang, Melaka, TV AlHijrah akan bekerjasama dengan KTMB untuk membawa semangat keprihatinan ke kawasan selatan tanah air.
Pada 14 Mac, Masjid Aleyah Kuala Ina akan menjadi lokasi utama di mana kakitangan KTMB bersama pasukan Hijrah Prihatin serta sukarelawan akan berganding tenaga untuk memasak bubur lambuk sebelum mengedarkannya kepada penumpang KTM dan penduduk sekitar.
Pada sebelah malamnya, pasukan Hijrah Prihatin akan berbuka puasa bersama jemaah masjid, berkongsi nikmat rezeki dalam suasana penuh keinsafan dan kesyukuran.
Kebersamaan ini akan menghidupkan kembali tradisi Ramadan yang sebenar, di mana setiap individu saling berbahagi, memberi tanpa mengharap balasan, dan merasai nikmat berbuka bersama dalam suasana penuh harmoni.
Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Pengurus Projek Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, Muhammad Sazri Abd Sani berkata, program ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol kasih sayang yang ingin dikongsi bersama masyarakat.
“Sebagai stesen televisyen Islam utama di Malaysia, TV AlHijrah bukan sahaja menyampaikan dakwah melalui siaran televisyen, tetapi juga aktif dalam program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada umat Islam.
“Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menunjukkan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Katanya, di TV AlHijrah mereka berharap agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati keindahan berbuka puasa dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

“Hijrah Prihatin Bubur Lambuk bukan hanya semangkuk bubur lambuk, ia membawa mesej kepedulian yang mendalam.
“Kami ingin menyampaikan mesej bahawa sumbangan ini adalah lambang kasih sayang kami kepada masyarakat umumnya, dan penonton setia TV AlHijrah khususnya,” katanya.
Dengan berlangsungnya Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, TV AlHijrah berharap dapat terus menjadi jambatan kebaikan, menyebarkan kasih sayang, serta mengukuhkan nilai ukhuwah dalam masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Program ini bukan hanya sebuah acara tahunan, tetapi usaha berterusan untuk memastikan semangat berbagi rezeki dan menyantuni golongan yang memerlukan terus hidup dalam jiwa umat Islam.
TV AlHijrah juga mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menjayakan program-program kemasyarakatan seperti ini pada masa akan datang.
Untuk maklumat lanjut mengenai Hijrah Prihatin Bubur Lambuk dan aktiviti program-program menarik sepanjang Ramadan, layari laman rasmi TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com atau mengikuti media sosial rasmi TV AlHijrah.